SEBERANG PERAI – Jabatan Perangkaan (DOSM) merancang untuk membangunkan statistik Indeks Pengeluaran Pertanian Negara yang bakal dijadikan indikator keterjaminan makanan negara.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi merangka tindakan lebih tepat dan bersasar.
Menurutnya, sebelum ini statistik hanya tertumpu terhadap indeks pengeluaran membabitkan sektor perkilangan, elektrik dan perkhidmatan.
“Sebelum ini indeks pengeluaran pertanian tidak ada. Kita cuma ada (statistik) pengeluaran berapa tan sawit, padi namun ia tidak merangkumi secara komprehensif.
“Oleh itu, statistik terbaharu ini bakal menyediakan data yang lebih lengkap dan dianggarkan bakal dikeluarkan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh suku tahun.
“Statistik ini dapat mengenal pasti pengeluaran pertanian negeri mana yang mencatatkan peningkatan dan data-data ini dapat dijadikan rujukan serta perkongsian buat agensi‐agensi lain mengikut kepentingan yang bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Negeri Pulau Pinang yang dirasmikan Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol di Institut Pertanian Bumbong Lima di sini, hari ini.
Untuk rekod, sektor pertanian negara mencatatkan jualan sebanyak RM161 bilion pada tahun 2023.
Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan Bancian Pertanian 2023, lebih 50 peratus warga emas berusia 60 tahun di seluruh negara didapati masih aktif menjalankan aktiviti pertanian.
“Kebanyakan warga emas ini akan berada di lapangan selagi sihat dan seperti yang kita sedia maklum, ia menjadi resam terutamanya buat penduduk di luar bandar. Namun, hasil bancian mendapati golongan belia turut berpotensi untuk meningkatkan produktiviti dalam sektor pertanian.
“Oleh itu, kita perlu bantu untuk ubah persepsi kerana golongan belia ini menganggap untuk masuk sektor pertanian ini, mereka perlu kotor dan sedangkan dengan gabungan teknologi terkini, mereka boleh usahakannya tanpa perlu berpanas sepanjang hari,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE