PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memfailkan notis bagi merayu keputusan melepas dan membebaskan bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther minggu lalu.
AGC dalam satu kenyataan berkata, rayuan itu dibuat berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan pemuda itu bagi tuduhan mengedar dadah dan memiliki dua pucuk pistol tiruan.
Kedua-dua pertuduhan itu dihadapi Muhammed Yusoff mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.
“Setelah mempertimbangkan keputusan Yang Arif Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, jabatan ini memfailkan notis rayuan bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan (Muhammed Yusoff) tersebut hari ini,” katanya.
Pada 12 Jun lalu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Muhammed Yusoff, 32, atas kedua-dua pertuduhan tersebut.
Muhammad Jamil memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Pada 12 September 2024, Muhammed Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan mengedar kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan Surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pukul 10.15 pagi pada 6 September 2024.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan maksimum 12 sebatan.
Muhammed Yusoff juga didakwa memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini pada pukul 9.25 pagi, 6 September 2024.
Bagi kesalahan itu, dia berdepan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya.- KOSMO! ONLINE!