fbpx

‘10 tahun setia, akhirnya bukan aku di sebelah dia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Luahan pilu seorang wanita bergelar isteri mencuri perhatian netizen selepas coretannya yang sarat emosi mengenai kemelut rumah tangga tular di media sosial.

Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, wanita berkenaan berkongsi kisah pernikahan bersama suami ketika mereka masih bergelar pelajar dan hidup serba kekurangan.

Menurutnya, majlis mereka ketika itu diraikan secara sederhana, berbekalkan pakaian hasil tangan kakaknya sendiri dan sekadar disaksikan sahabat rapat.

Namun, apa yang menyentuh perasaan ramai ialah pengorbanan wanita itu selama 10 tahun perkahwinan akhirnya dibalas dengan pengkhianatan.

“Dahulu aku pernah cakap, nanti apabila hidup kita dah senang, kita akan cipta semula momen sanding yang kita tak pernah mampu dahulu,” katanya dalam hantaran tersebut.

Kata wanita itu, hasrat untuk bersanding semula akhirnya menjadi kenyataan selepas satu dekad, namun bukan dia yang berdiri di sisi suami di atas pelamin indah, sebaliknya wanita lain yang kini menjadi suri hati baharu lelaki berkenaan.

Lebih menyayat hati, wanita tersebut ketika itu sedang sarat hamil apabila menerima perkhabaran suaminya telah bernikah lain kerana ‘kesunyian’ dalam perkahwinan mereka.

Katanya, segala kenangan serta foto-foto mereka dahulu seolah-olah dipadam dan diganti dengan memori baharu bersama isteri kedua.

Perkongsian tersebut turut mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib wanita itu.

“Sebak dada akak baca nukilan ain..Akak doakan ain terus kuat demi anak-anak…Allah sentiasa bersama ain,” kata Rohanim Ibrahim.

“Allah, sedihnya bila nampak perempuan yang disakiti sebegini, semoga terus kuat kak,” ujar Ain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI