NEW DELHI – Seorang wanita memberitahu bahawa dia terlewat 10 minit untuk menaiki pesawat Air India kelmarin selepas terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, lapor portal berita MailOnline.
Bhoomi Chauhan sepatutnya berlepas ke Lapangan Terbang London Gatwick dengan menaiki pesawat Boeing 787-8 Dreamliner milik Air India dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad.
Chauhan berkata, dia terkejut apabila mengetahui nasib yang menimpa penerbangan 171 selepas terlambat 10 minit untuk menaiki pesawat tersebut kerana kesesakan lalu lintas yang teruk.
“Saya benar-benar terkejut selepas mendengar tentang kehilangan (nyawa). Badan saya betul-betul menggigil. Saya tidak boleh bercakap.
“Fikiran saya benar-benar kosong sekarang selepas mendengar semua (berita) yang telah berlaku,” ujarnya.
Rakaman video menunjukkan bagaimana pesawat itu kehilangan altitud dengan cepat selepas berlepas dan gear pendaratannya terbuka.
Ia merempuh bangunan yang menempatkan pejabat dan asrama untuk doktor.
Dalam nahas itu, sekurang-kurangnya 290 orang sama ada di dalam kapal terbang dan di darat maut tetapi seorang penumpang warga Britain berketurunan India ditemukan terselamat. – AGENSI