PETALING JAYA – Kecekalan seorang wanita dalam mencari rezeki buat keluarganya menyentuh hati orang ramai.
Wanita yang dikenali sebagai Kak Za mengambil upah mengangkat atau membeli barangan basah di pasar terletak sekitar Seri Kembangan.
Difahamkan, Kak Za mencari rezeki buat keluarganya kerana suaminya tidak dapat bergerak atas masalah kesihatan.
Paling menyentuh hati, Kak Za tidak meletakkan sebarang upah tetap atas pekerjaan yang dilakukan dan meminta bayaran seikhlas hati.
Menurut seorang pengguna di aplikasi X dikenali sebagai Ben, servis Kak Za sememangnya memudahkan pengunjung yang datang berseorangan.
“Kalau pergi pasar Seri Kembangan, hubungi la akak ni. Akak ni pandai pilih barang basah and sayur segar.
“Akak ni tak boleh kerja sepenuh masa sebab suami dia tidak boleh bergerak dan hanya bergantung sepenuhnya kepada Kak Za,” ciapnya.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang mendoakan agar Kak Za diberikan kemudahan mencari rezeki dalam apa jua keadaan.
“Semoga dipermudahkan urusan kakak,” komen Firdaus.
“Rajinnya dia usaha, semoga dipermudahkan urusan kakak ni,” komen Dewi.
“Akak ni ada dapat bantuan, tapi dia cuma nak tambah belanja harian. Semoga dipermudahkan urusan,” komen Kyle. – KOSMO! ONLINE