KUALA LUMPUR – Berita gembira buat para pengamal media apabila Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan pemberian diskaun 50 peratus tambang penerbangan pergi balik AirAsia secara one-off ke 57 destinasi negara ASEAN bagi menghargai sumbangan dan jasa mereka.
Menurut Fahmi, inisiatif ini merupakan hasil kerjasama strategik dengan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, sebagai tanda penghargaan terhadap peranan besar wartawan dalam membentuk masyarakat yang bermaklumat dan berintegriti.
“Saya mengumumkan bahawa rakan-rakan wartawan akan menikmati diskaun 50 peratus secara one-off untuk penerbangan ke mana-mana 57 destinasi negara anggota ASEAN. Ini hasil rundingan dan kerjasama erat antara Kementerian Komunikasi dan AirAsia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Tony Fernandes turut bersetuju untuk mencadangkan agar salah satu pesawat AirAsia dihiasi dengan reka bentuk khas bertemakan dunia kewartawanan, termasuk berita yang pernah disiarkan sebagai satu bentuk penghormatan terhadap profesion tersebut.
Langkah ini sekali gus mencerminkan sokongan sektor swasta terhadap pembangunan media profesional dan bebas di Malaysia serta Asean secara keseluruhannya.-KOSMO! ONLINE