fbpx

Dua pelajar Malaysia terpilih ke Akademi Ketenteraan Amerika Syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAGAN (kiri) bergambar bersama Rakis Ruhaim (dua kiri) dan Luthfil Haikal (tiga kiri) di Kediaman Ketua Misi AS, di Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Dua pelajar cemerlang Malaysia, Rakis Ruhaim Abdul Rahman dan Luthfil Haikal Haswadi, menerima penghargaan daripada Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur selepas berjaya terpilih untuk melanjutkan pengajian di akademi ketenteraan terkemuka di Amerika Syarikat bermula penghujung Jun ini.

Kadet Rakis Ruhaim akan menyertai U.S. Naval Academy di Annapolis, Maryland, manakala Kadet Luthfil Haikal akan melanjutkan pengajian di U.S. Military Academy di West Point, New York.

Kedua-dua mereka akan mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda selama empat tahun dan dijangka tamat pada tahun 2029.

Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan, berkata kejayaan kedua-dua kadet tersebut amat membanggakan, memandangkan setiap akademi hanya menerima kira-kira 15 pelajar antarabangsa daripada lebih kurang 1,500 tempat yang ditawarkan.

“Hanya satu peratus atau bersamaan 15 orang sahaja yang dipilih daripada calon-calon seluruh dunia yang bersaing untuk mendapatkan peluang ini.

“Saya percaya ini mencerminkan kualiti dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia serta warganya.

“Malaysia telah berjaya menghantar begitu ramai calon ke Amerika Syarikat saban tahun,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan kepada dua kadet tersebut, di sini.

Majlis itu disempurnakan oleh Duta Kagan dalam satu upacara rasmi yang turut dihadiri Mejar Jeneral Datuk Ts. Reizal Arif Tan Sri Ismail, Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Angkatan Tentera Malaysia.

Untuk rekod, pemilihan mereka dibuat melalui proses yang amat kompetitif, merangkumi pencapaian akademik, potensi kepimpinan, dan keupayaan fizikal.

Sementara itu, Rakis Ruhaim meluahkan penghargaan kepada ibunya, seorang ibu tunggal, atas sokongan tidak berbelah bahagi sehingga beliau berjaya meraih kejayaan tersebut.

“Sejak ayah saya meninggal dunia ketika saya berusia 14 tahun, saya sedar saya perlu menjadi tulang belakang keluarga kerana saya anak sulung dan satu-satunya anak lelaki.

“Dari situlah minat saya terhadap bidang ketenteraan bermula. Saya mendapat sokongan padu daripada keluarga saya, terutamanya ibu yang tidak pernah lelah memberi semangat kepada saya,” katanya.

Luthfil Haikal pula meluahkan rasa bangga kerana menjadi ahli keluarga pertama yang menyertai bidang ketenteraan dan berazam untuk mengharumkan nama negara.

“Saya bukan daripada keluarga tentera, tetapi sejak kecil lagi saya sudah mempunyai impian untuk berbakti kepada negara melalui ketenteraan.

“Saya membuat penyelidikan mengenai akademi ketenteraan luar negara dan mendapati West Point merupakan antara institusi paling berprestij. Oleh itu, saya amat berbangga kerana terpilih untuk menyertainya,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Duta Kagan turut memberi penghormatan kepada Pegawai Kadet Mohamad Khairel Adha Mohd Khairee, yang baru sahaja menamatkan pengajian dari U.S. Air Force Academy

Sejak tahun 1971, seramai 40 pelajar Malaysia telah menamatkan pengajian dari akademi ketenteraan Amerika Syarikat, sekali gus menyumbang kepada keselamatan global serta memperkukuh hubungan pertahanan dan kerjasama antara rakyat kedua-dua negara.

Legasi kerjasama dalam bidang pendidikan ketenteraan ini bukan sahaja membina jaringan profesional dan peribadi antara pasukan keselamatan, malah melahirkan pemimpin berwibawa yang komited terhadap keamanan, kestabilan, dan kemakmuran bersama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI