PETALING JAYA – Mahu hujung minggu yang padat dengan ilmu, aktiviti menarik dan hiburan percuma?
Karnival Pembelajaran NTW (Minggu Latihan Kebangsaan) 2025 yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini, 14 hingga 15 Jun 2025, di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil menjanjikan sesuatu untuk semua peringkat umur, dari kanak-kanak hingga dewasa.
Pelbagai aktiviti diadakan termasuk bengkel skateboarding dan golf, pameran STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik), pertandingan e-sukan dan solekan, serta pesta buah-buahan tempatan bermula dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.
Antara selebriti yang bakal membuat penampilan ialah Bunkface serta Alif Satar & The Locos yang akan membuat persembahan, selain aktiviti yoga bersama Atilia Haron dan buat si cilik, penampilan istimewa Ejen Ali.
Turut diadakan ialah kelas bersama pempengaruh terkenal seperti Pinn Yang dan Dr. Malar.
NTW adalah inisiatif tahunan HRD Corp dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), bertujuan memberi akses pembelajaran dan latihan percuma kepada semua rakyat tanpa mengira umur atau latar belakang.
Tahun ini, ia turut menjadi platform utama Malaysia di bawah Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025, dengan tema ‘Pembelajaran Tanpa Sempadan’ untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam pembangunan bakat.
Menerusi inisiatif tersebut, lebih 70,000 kursus percuma tersedia dalam talian, secara bersemuka dan kendiri.
“Kami berharap pada akhir tahun ini, bersama rakan-rakan di ASEAN, NTW akan menjadi karnival latihan serantau terbesar di dunia,” katanya pada majlis pra-pelancaran NTW 2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kemasukan ke NTW 2025 adalah percuma dan maklumat lanjut boleh didapati di www.nationaltrainingweek.gov.my. -KOSMO! ONLINE