PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad dan Yinson GreenTech Malaysia melalui anak syarikat masing-masing, Terra PLUS Sdn. Bhd. dan Green EV Charge Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian usaha sama untuk membangunkan dan mengendalikan hab pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan runcit bersepadu di lokasi terpilih sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.
Melalui usaha sama berkenaan, PLUS akan menerajui pembangunan dan pengurusan hab runcit komersil serta komponen makanan dan minuman (F&B), manakala Yinson GreenTech bertanggungjawab untuk pemasangan, operasi dan pengurusan pengecas EV.
Hab pertama kerjasama tersebut bakal dibangunkan di kawasan rehat dan rawat (R&R) Seremban arah selatan dan dijangka siap menjelang 2027.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, kerjasama tersebut menandakan pencapaian strategik dalam menyokong Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2030.
“Ia juga menyokong aspirasi kami ke arah lebuh raya yang mampan dan pintar untuk pengalaman perjalanan yang dipertingkatkan buat pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehingga kini, 112 titik pengecasan pantas DC (arus terus) telah dihidupkan di lebuh raya PLUS, melebihi sasaran untuk tahun 2025. – KOSMO! ONLINE