PETALING JAYA – Keluarga mangsa nahas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak Isnin lalu boleh menuntut keadilan dengan mengemukakan tuntutan sivil untuk kes kemalangan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah malam itu, seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terkorban sementara 29 lagi cedera selepas bas persiaran yang mereka naiki melanggar sebuah Perodua Alza sebelum terbalik.
Peguam, Nursyafiah Ahmad Razali, 35, berkata, tindakan undang-undang melalui tuntutan sivil boleh diambil oleh keluarga sebagai usaha mendapatkan pampasan sewajarnya, selain memastikan pihak yang bertanggungjawab tidak terlepas.
“Walaupun kes kemalangan maut ini masih dalam siasatan polis, sewajarnya tindakan awal boleh diambil oleh keluarga mangsa dari sudut tuntutan di bawah Undang-Undang Sivil di Malaysia di bawah Akta Undang-Undang Sivil 1956 termasuk Akta Undang-Undang Sivil (Pindaan) 2019,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Nusyafiah, antara langkah awal yang perlu dilakukan waris ialah mengumpul dokumen berkaitan seperti laporan polis, rakaman dashcam, keputusan bedah siasat, sijil kematian serta resit kos hospital dan pengebumian.
“Jika mangsa yang terkorban merupakan penyumbang kewangan kepada keluarga, bukti sumbangan tersebut perlu dikemukakan bagi menyokong tuntutan kehilangan saraan (loss of dependency).
“Sebagai contoh, jika pelajar terbabit adalah harapan keluarga dan bakal menyara ibu bapa selepas tamat pengajian, nilai saraan boleh dituntut,” jelasnya.
Beliau berkata, salah satu isu penting yang perlu dikenal pasti ialah status perlindungan insurans kenderaan bas terbabit dan sekiranya didapati bas itu mempunyai perlindungan insurans sah, tuntutan boleh difailkan terhadap syarikat insurans berkenaan.
Tambahnya, sekiranya tiada perlindungan insurans, tuntutan masih boleh dikemukakan terhadap syarikat pengendali bas dan pemandu.
“Dalam kes sebegini, Motor Insurer Bureau of West Malaysia (MIB) boleh menjadi pihak bertanggungjawab menyalurkan pampasan kepada mangsa kemalangan yang terlibat dengan kenderaan tanpa insurans.
“Berdasarkan Akta Had Masa 1953, semua tuntutan sivil berkaitan kemalangan perlu difailkan dalam tempoh tiga tahun dari tarikh kejadian jika melibatkan kematian dan enam tahun sekiranya tidak melibatkan kematian,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Nusyafiah berkata, dalam aspek jenayah, jika terbukti terdapat kecuaian melampau oleh pemandu bas, dia boleh didakwa di bawah Seksyen 41 dan 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
“Keputusan siasatan polis sangat penting untuk membantu menentukan punca sebenar kemalangan dan juga memperkukuh tuntutan sivil oleh mangsa dan waris,” katanya.
Sementara itu, Peguam Sivil, Muhammad Hariz Md. Yusoff berkata, setiap keluarga kepada penuntut yang terkorban dalam nahas itu mempunyai hak untuk mendapatkan bantuan khidmat guaman.
“Bagi mangsa yang telah meninggal dunia, waris boleh dinamakan untuk mengambil tindakan manakala mangsa yang cedera, mereka sendiri (mangsa) perlu mengambil tindakan bagi mendapat keadilan atas apa yang berlaku.
“Secara amalannya, apabila waris mangsa melantik peguam, pihak terbabit akan berikan nasihat guaman kepada mereka berkenaan isu-isu undang-undang yang timbul, yang boleh dikenakan ke atas pemandu dan majikan syarikat pengusaha bas tersebut,” katanya di sini semalam.















