fbpx
Seramai enam orang penyelam termasuk saya mengambil peluang meneroka dasar laut di Pulau Tokong Burung. Cikgu Rody mendapat ikan seakan ikan barat menggunakan apollo berumpan isi udang.

K2

Menyelam dan memancing di Penyabong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saya bersyukur kerana ditemukan dengan kumpulan selam skuba, P44irateScuba yang banyak membimbing. Dari hanya pemegang lesen Open Water sehingga kini memegang lesen Dive Master daripada Scuba Diving International (SDI) di bawah program bersama TVET UPMET (UPM Education & Training) Divemaster Training.

Perancangan untuk aktiviti menyelam telah dibuat pada awal tahun lagi memandangkan banyak persediaan perlu dilakukan. Kami perlu memastikan semua peralatan disediakan selengkapnya. Ini kerana, menyelam bukan sekadar masuk ke dalam air, tetapi melibatkan pelbagai aspek keselamatan terutamanya peralatan seperti Buoyancy Control Device (BCD) dan Regulator perlu dalam keadaan baik.

Lokasi menyelam

Pulau Tokong Burung, Terengganu dipilih sebagai lokasi menyelam kami pada trip singkat ini. Memandangkan ini merupakan trip menyelam sambil memancing, saya mengehadkan kepada enam orang penyelam sahaja untuk sebuah bot dan kami menyasar­kan dua kali selaman bagi memastikan keselesaan.

Setibanya di lokasi, cuaca tidak begitu memihak kepada kami kerana keadaan beralun dan berangin serta arus juga didapati sedikit deras.

Selaman pertama kami diketuai oleh Dive Master Acil dilakukan pada kedalaman purata 18 meter di tepi pulau dengan berlindung daripada arus selama 50 minit. Jarak pandangan tidak begitu baik kerana arus deras menyebabkan banyak partikel air mengganggu penglihatan.

Surface interval

Perancangan untuk sesi selaman seterusnya adalah pada waktu tengah hari apabila air pasang besar dan tidak berarus. Oleh itu, kami memanfaatkan waktu senggang dengan aktiviti memancing. Lokasi pancingan tidak jauh dari tempat selaman kerana sepanjang sesi menyelam, saya mendapati banyak kelibat ikan bermain-main seperti ketarap, kerapu bara dan kaci.

Inilah kelebihan bagi seorang pemancing yang merupakan penyelam kerana sedikit sebanyak dapat mempelajari tingkah laku ikan di dasar laut.

Hasil tangkapan kami pada sesi menyelam dan memancing yang pastinya menjadi memori tidak terpadam.

Banyak spesies ikan bermain di kawasan karang seperti ikan bayan (parrot fish), ikan daripada keluarga Lutjanidae seperti ikan kunyit dan ikan-ikan kecil yang lainnya.

Namun begitu, ikan pemangsa se­perti ketarap dan kerapu bara bermain serta berkeliaran di luar kawasan karang, hanya sesekali masuk ke kawasan karang bagi mencari makan.

Oleh itu, untuk memancing spesies pemangsa ini, kedudukan bot perlu berada jauh sedikit dari kawasan karang tinggi. Ia bagi mengelak umpan habis dimakan ikan-ikan kecil dan mata kail atau batu ladung tersangkut di celah karang.

Pembuli dasar

Benar bagai dikata, jika ada batu karang pasti ada ikan ketarap berhampirannya. Banyak kes buli berlaku apabila menyasarkan spesies ini.

Hal ini kerana sifatnya menyergap dan seterusnya membenam terus ke kawasan karang berhampiran hingga menyebabkan tali pan­cing boleh tersangkut.

Dalam trip ini, hanya seekor ikan ketarap dapat didaratkan setelah beberapa kali menemui kegagalan lantaran tidak dapat mengawal larian awalnya. Disebabkan itu, ikan ini sering digelar sebagai pembuli dasar.

Selain ketarap, ikan lain yang berjaya didaratkan adalah gerong belang, kerapu bara dan beberapa spesies ikan karang yang lain dalam masa beberapa jam sahaja sebelum meneruskan sesi selaman berikutnya.

Selaman kedua

Kami memutuskan menukar lokasi lain untuk sesi selaman kedua dan pergi ke kawasan lebih cetek untuk menikmati panorama dasar laut serta mencari spesies kegilaan para penyelam iaitu nudibranki (nudi).

Nudi merujuk kepada spesies moluska gastropoda, hidupan laut bersaiz kecil dengan badan yang berwarna-warni serta tidak bercangkerang.

Untuk mencari spesies ini, penyelam perlu bertindak sebagai spotter, manakala jurugambar perlu berupaya mengawal apungan serapat yang boleh ke dasar tanpa menyentuh karang bagi mengambil gambar dari pelbagai posisi.

Sesi selaman kedua mengambil masa lebih satu jam dengan kedalaman purata hanya 14 meter.

Kesimpulan

Selain dapat merehatkan minda dari hiruk-pikuk bandar dan ketegangan di tempat kerja, hasil tangkapan daripada aktiviti memancing pastinya dapat dimanfaatkan dengan menjamu ahli keluarga.

Namun begitu, setiap orang pasti ada keinginan yang mengatasi aktiviti memancing itu sendiri. Salah satunya adalah perasaan ingin tahu apa yang wujud di sebalik hamparan lautan terbentang luas ini.

Teka-teki ini hanya akan terjawab apabila seseorang pemancing mengambil langkah dengan ‘terjun’ ke fasa seterusnya iatu bergelar penyelam skuba. Kini untuk menjadi penyelam skuba bukanlah lagi eksklusif pada yang berstatus tinggi sahaja.

Dengan munculnya operator selam skuba yang menawarkan pakej menarik, pasti ramai yang mampu mengikuti kursus dan memperoleh lesen menyelam. Apabila saya berada di dalam air, saya merupakan fish lover, namun apabila di atas bot saya adalah fish killer.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN