KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan, hasil siasatan pihaknya mendapati pemegang permit bas persiaran yang terlibat kemalangan maut di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, Perak pada malam Isnin lalu, telah memajak permitnya kepada pihak ketiga dengan bayaran RM500 sebulan.
Kata Anthony, pemilik permit itu didapati tidak mengoperasikan bas tersebut, sebaliknya memajakkan kepada seorang individu dari Kelantan.
“Pemilik permit diketahui beralamat dari Kedah dan memajak permit kepada pihak ketiga iaitu seorang individu dari Kelantan dengan bayaran hanya RM500 sebulan.
“Secara dasarnya, ia telah menyalahi undang-undang dan perjanjian yang telah dibuat oleh pemilik permit itu sebelum ini dengan Kementerian Pelancongan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya dalam sidang akhbar di Angkasapuri hari ini.
Anthony berkata, pihak syarikat bas persiaran terbabit juga tidak menyerahkan laporan GPS kepada pihak kementerian apabila diminta berbuat demikian kerana bas itu didapati tidak memasang peranti tersebut.
“Dia tidak boleh menyediakan laporan tersebut kerana GPS tidak dipasang di kenderaan itu. Jadi ini dua syarat besar yang sepatutnya disediakan pengendali, namun mereka gagal.
“Selepas tamat tempoh surat tunjuk sebab yang diserahkan pihak APAD kepada pengendali pada esok, permit tersebut akan dibatalkan serta-merta. Tiada lagi rayuan yang boleh dibuat.
“Walaupun rayuan sepatutnya boleh dibuat, tetapi keputusan telah dibuat, permit tersebut akan dibatalkan dan ditarik balik serta-merta,” katanya. -KOSMO! ONLINE.