LISBON – Naib juara Liga Pro Arab Saudi, Al-Hilal seakan bersedia untuk menggunakan kuasa wang untuk ‘mencantas’ gergasi-gergasi Eropah bagi mendapatkan khidmat penggempur utama Sporting Lisbon, Viktor Gyokeres.
Ketika ini, Gyokeres dilaporkan menarik minat tiga kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal, Manchester United dan Chelsea, namun penyerang kebangsaan Sweden iu dilaporkan telah menolak tawaran bernilai £30 juta (RM171.9 juta).
Tindakan Al-Hilal kali ini juga dikatakan mempunyai hubung kait dengan tindakan penyerang Napoli dari Nigeria, Victor Osimhen selepas melakukan pusingan U kerana tidak berminat mengembangkan kariernya di benua Asia.
Walaupun sudah hampir mencapai kata putus, Osimhen yang sebelum ini dipinjamkan ke kelab Turkiye, Galatasaray membuat keputusan untuk terus kekal dalam peta bola sepak di Eropah.
Bagaimanapun, selepas penolakan itu dibuat, wujud laporan yang mengatakan Gyokeres turut mengambil tindakan sama dengan Osimhen dan melihat masa depannya kekal di Eropah untuk tempoh lebih lama.
Selain tiga kelab EPL, beberapa jaguh Eropah lain antaranya Napoli, Atletico Madrid dan Juventus juga sedang memantau Gyokeres yang memiliki rekod cukup cemerlang apabila sudah meledak 97 gol dalam 102 penampilan buat Sporting.
Buat masa ini, Arsenal dilaporkan sedang mendahului perebutan untuk mendapatkan servis ‘mesin gol’ tersebut selepas ejennya mengadakan perbincangan dengan Pengarah Sukan Arsenal, Andrea Berta.
Apa yang menjadi masalah adalah permintaan Gyokeres mahukan gaji tinggi dipercayai berjumlah £300,000 (RM1.71 juta) seminggu berbanding bayaran mingguan bernilai £39,000 (RM223,428) diterimanya di Sporting ketika ini. – AGENSI