fbpx

‘Tentera bukan setakat berkorban keringat, tetapi juga nyawa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Muhammad Fauzi (kiri) membantu melapah daging korban pada Majlis Ibadah Korban Perdana Peringkat Tentera Darat 2025, di Kem Perdana Sungai Besi. - Foto AMIR KHALID / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) membuat kelainan apabila melaksanakan ibadah korban pada hari terakhir Hari Tasyrik hari ini.

Timbalan Panglima Tentera Darat (PTD), Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, sebanyak 27 ekor lembu telah dikorbankan pada tahun ini.

Beliau berkata, jumlah itu melibatkan 11 ekor lembu korban dan 16 ekor lagi hasil daripada sumbangan.

“Jumlah lembu tersebut menghasilkan anggaran sejumlah 2,420 kilogram (kg) daging korban.

“Daripada jumlah tersebut, 1,903 kg daging telah diagihkan kepada warga TDM, rumah anak yatim, pusat tahfiz dan agensi luar, manakala selebihnya diberikan kepada petugas yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ibadah Korban Perdana Peringkat Tentera Darat 2025, di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Sementara itu, Tengku Muhammad Fauzi berkata, proses penyembelihan, melapah, pembungkusan dan pengagihan daging korban telah diuruskan secara bergotong-royong oleh seramai 425 orang petugas.

“Acara yang diadakan ini merupakan acara tahunan yang mana ia adalah sebahagian daripada komitmen TDM untuk kita sama-sama menghayati semangat korban itu.

“Selain itu bagi kita TDM ini kita sebagai tentera, kita hanya bukan berkorban setakat keringat, tapi kita sanggup berkorban nyawa dan pada hari ini, kita turut sama dalam usaha untuk memastikan syiar Islam itu dapat kita semaikan di dalam setiap warga TDM terutamanya kepada mereka yang beragama Islam,” katanya.

Antara penerima daging korban tersebut ialah Rumah Anak Yatim Darul Takwa, Sungai Besi, Rumah Anak Yatim Darul Najah, Keramat, Baitul Ulfah Centre, Seri Kembangan, Rumah Anak Yatim dan Asnaf Darul Fikri Rahoma.

Selain itu, daging korban tersebut juga diagihkan kepada Tahfiz Darul Al-Islah, Keramat; PPR Lembah Ampang; Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM) dan Old Putra Association (OPA). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI