PUTRAJAYA – Poland menzahirkan komitmen untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman ketenteraan bersama Malaysia khususnya dalam pelaksanaan misi keamanan antarabangsa yang dilaksanakan selama beberapa dekad menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Presiden Poland, Andrzej Duda berkata, negaranya mempunyai pengalaman luas dalam misi pengaman termasuk penyertaan tenteranya di Lubnan sebelum ini.
“Kami benar-benar berpengalaman dalam hal ini dan sedia membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam penyediaan, latihan dan segala aspek yang penting.
“Ia bukan sahaja untuk menyertai misi seumpama itu, tetapi juga bagi memastikan pelaksanaannya dibuat dengan baik dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra di sini tadi.
Dalam pertemuan itu, beliau turut menyatakan komitmen Poland memperkukuh lagi kerjasama dalam sektor pertahanan, termasuk memperluaskan kehadiran industri persenjataan Poland di Malaysia.
Katanya, produk industri pertahanan Poland seperti WB Electronics kini sudah pun digunakan oleh ATM yang mana kerjasama itu diharap dapat terus diperkukuh.
Dalam pada itu, beliau turut menjemput Perdana Menteri Malaysia untuk melakukan lawatan rasmi ke Warsaw dalam usaha mempererat hubungan dua hala termasuk menjalin kerjasama baharu dalam bidang ekonomi, teknologi hijau, tenaga dan infrastruktur.
Mengulas hubungan ekonomi, beliau menyatakan hasrat untuk meningkatkan lagi eksport produk Poland ke Malaysia termasuk produk makanan seperti tenusu dan daging serta membuka peluang pelaburan kepada syarikat Malaysia meneroka pasaran Poland.
“Saya juga menggalakkan Perdana Menteri untuk menarik pelabur Malaysia meneliti peluang pelaburan di Poland.
“Negara kami menawarkan pelbagai bentuk sokongan kepada pelabur asing termasuk geran, pengecualian cukai, bantuan modal, pinjaman bersubsidi dan latihan tenaga kerja mahir,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE