KUALA LUMPUR – Daikin Malaysia Sales & Service Sdn. Bhd. hari ini memperkenalkan Pelan Mudah Milik untuk rangkaian penyaman udaranya, iaitu POAS yang direka khas untuk memudahkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki penyaman udara inverter premium Daikin.
POAS dirangka berasaskan empat elemen utama iaitu Peace of mind, Optimal comfort, Affordability, dan Satisfaction, mencerminkan kesemua nilai yang ingin diberikan Daikin kepada pelanggannya.
Elemen pertama, iaitu Peace of mind dicapai menerusi khidmat pembersihan profesional secara berkala oleh juruteknik bertauliah, manakala Optimal Comfort diberikan menerusi teknologi serta inovasi penghawa dingin terkini dari Jepun.
Sementara itu, elemen Affordability disediakan dengan pilihan pembayaran dengan kad kredit atau skim pembiayaan dan yang terakhir, Satisfaction dicapai menerusi pemasangan berkualiti pada lokasi paling strategik di kediaman pelanggan.
Sebanyak dua pelan berbeza ditawarkan iaitu Basic pada harga bermula RM52/bulan bagi model Standard Inverter, dan Smartkool bagi model Premium Inverter yang bermula RM99/bulan, kedua-duanya dengan tempoh pembayaran selama 24 bulan, 36 bulan, atau 60 bulan.
Pengarah Urusan Daikin Malaysia Sales & Service, Lawrence Song Yew Beng berkata, pengenalan POAS merupakan satu langkah besar bagi syarikat untuk menawarkan ketenangan fikiran, keselesaan optimum, kemampuan, dan kepuasan buat pelanggan.
“Dengan POAS, anda kini boleh menikmati pilihan pembayaran yang fleksibel dan berpatutan, sama ada melalui ansuran bulanan kad kredit atau pelan pembiayaan yang sepadan dengan bajet masing-masing.

“Daikin Malaysia baru-baru ini telah memenangi dua anugerah utama di Anugerah Jenama Dipercayai Reader’s Digest 2025, yang mana kami beroleh anugerah platinum bagi kategori Penggunaan-Udara untuk Malaysia, dan juga Asia.
“Pencapaian ini amat bermakna bagi kami kerana ia diundi oleh pengguna sendiri yang menggunakan produk Daikin, dan percaya pada jenama serta perkhidmatan kami,” katanya pada majlis pelancaran hari ini.
Sementara itu, Pengurus Besar (Jualan) Daikin Malaysia Sales & Service, Lee Wai Kok berkata, transaksi Beli Dulu, Bayar Kemudian kian popular di negara ini, dengan 5.1 juta pengguna aktif setakat Disember lalu, mencerminkan peralihan gelagat pembayaran oleh pengguna.
“Untuk itu, POAS diperkenalkan, juga kerana kami ingin menawarkan kitaran hayat produk yang lengkap buat pengguna dari segi pilihan pembayaran, pemasangan dan penyelenggaraan, kepada waranti untuk tempoh sehinga lima tahun.
“Keunikan Daikin berbanding penawaran lain ialah kami memfokuskan kepada industri penyaman udara, sehingga kami dikenali sebagai ‘Pakar Udara.’
“Selain itu, kami turut memiliki sejumlah 10 cawangan dan pusat perkhidmatan yang terletak di lokasi strategik di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, serta lebih daripada 1,000 pengedar untuk menawarkan pelan ini kepada pelanggan.
“Orang ramai hanya perlu ke estore.daikin.com.my pilih pelan dan pembiayaan yang diinginkan dan lengkapkan borang permohonan.
“Permohonan pembiayaan hanya memerlukan salinan kad pengenalan serta slip gaji,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE