MELAKA – Nyawa tiga beranak termasuk seorang warga emas yang dalam keadaan uzur nyaris diragut dalam kejadian ribut di Kampung Bukit Pegoh, Pernu, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, bumbung kediaman keluarga itu dikatakan ‘bergulung’ sebelum berkecai akibat dipukul ribut.
Menceritakan detik cemas itu, mangsa, Mohd. Fikri Abu Bakar, 46, berkata, dia bersama ibunya, Fatimah Mohd. Saad, 78, serta anak saudara berusia 22 tahun terselamat selepas berjaya keluar dan melarikan diri ke rumah jiran.
“Kami sekeluarga sedang tidur sebelum tiba-tiba saya terdengar bunyi ribut dan angin kuat menerbangkan bumbung rumah.
“Saya segera kejutkan mak dan anak saudara untuk keluar menyelamatkan diri kerana saya nampak atap rumah sudah bergulung,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya, di sini.
Tambahnya, situasi tersebut menjadi lebih getir apabila dia perlu memapah ibunya yang lemah kerana baru sahaja menjalani pembedahan kanser payudara.
Mengulas lanjut dia memberitahu, bencana itu merupakan kejadian kali kedua menimpa keluarganya.
“Kejadian pertama pada bulan Ogos tahun lalu, bermakna belum pun setahun sudah dua kali bumbung rosak,” katanya.
Ujarnya, sebelum ini dia yang hanya melakukan kerja-kerja kampung terpaksa mengeluarkan kos hampir RM2,000 untuk membaiki bumbung dan berharap pihak berkaitan dapat membantu menghadapi bencana kali ini. – KOSMO! ONLINE