MEKAH – Malaysia menerusi Tabung Haji (TH) bukan sahaja mengekalkan kecemerlangan untuk empat tahun berturut-turut, malah buat julung kalinya memperoleh Anugerah Tertinggi Labaytum ‘Diamond Award’ bagi pengurusan jemaah haji yang diberikan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi malam tadi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengucapkan syabas dan taniah kepada Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Husain; Ketua Pegawai Eksekutif, Mustaqim Muhammad dan Ketua Rombongan Haji, Mohd. Hisham Harun.
“Kejayaan itu adalah hasil kerja keras seluruh warga kerja TH khususnya petugas haji dan sahabat maktab yang bertugas di lapangan dalam menyantuni dan mengurus jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.
“TH dan Kerajaan Malaysia telah dianugerahkan Anugerah Labaytum untuk tahun keempat berturut-turut. Alhamdulillah malam ini apa yang lebih menarik lagi, kita telah menerima anugerah tertinggi ataupun apa yang disebut sebagai Diamond Award,” katanya ketika ditemui di sini.
Terdahulu beliau menghadiri dan menerima anugerah tersebut pada Majlis Penutupan Musim Haji 1446H oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Beliau berkata, dengan anugerah yang julung-julung kali diterima tersebut, ia akan memberikan semangat yang lebih kepada pengurusan TH untuk memberikan perkhidmatan terbaik pada masa akan datang.
“Bila mana TH menerima anugerah tertinggi pada malam ini, sudah tentu ia memberikan satu kekuatan untuk pengurusan TH untuk penambahbaikan pada masa yang akan datang.
“Insya-Allah, pengurusan TH tidak akan menunggu lama. Selepas ini kita akan buat post-mortem untuk mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang ada dan akan bekerjasama dengan pihak Masiah (Al Masyarik) untuk kita tambah baik,” katanya.
Tambah Mohd Na’im, penilaian ketat oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi melibatkan aspek pengurusan, kebajikan dan keselamatan jemaah dengan memperoleh markah melebihi 95 peratus dalam semua aspek yang dinilai.
“Insya-Allah tahun ini, untuk penambahbaikan Tan Sri Rashid Husain sendiri akan mengadakan perbincangan untuk mengenal pasti beberapa bangunan yang boleh kita adakan perjanjian. Saya ingat ada dua bangunan yang akan tamat tempohnya tahun ini.
“Jadi Tan Sri dan pengurusan TH akan mengadakan perbincangan secara langsung dengan pemilik-pemilik bangunan untuk memastikan bangunan yang dipilih akan dapat memberikan keselesaan. Sama ada daripada sudut jaraknya dengan haram dan keadaan hotel yang akan dipilih nanti,” tambahnya.- KOSMO! ONLINE