GERIK – Proses bedah siasat ke atas mayat dua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik di sini hari ini selesai dijalankan sebentar tadi.
Jenazah Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22, dan Muhammad Adib Hazim Halim, 21, dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Gerik di sini pada pukul 6.30 petang.
Jenazah kedua-dua mangsa yang dibawa menaiki van itu bergerak ke Besut, Terengganu dengan diiringi kereta peronda polis (MPV).
Difahamkan, jenazah Wan Nur Suhaila dijangka dikebumikan di Kampung Amer, manakala Muhammad Adib Hazim pula akan dibawa ke tanah perkuburan di Kampung Pasir Badak, Jerteh, Terengganu.
Wan Nur Suhaila dan Muhammad Adib Hazim merupakan dua daripada 15 pelajar UPSI yang terkorban dalam kemalangan membabitkan bas membawa 42 penumpang dan kenderaan pelbagai guna Perodua Alza. – KOSMO! ONLINE