fbpx
MEREKA yang bergelar siswa dan siswi menghadapi cabaran dan dilema sebelum, semasa dan selepas menamatkan pengajian di universiti. – GAMBAR HIASAN

K2

Hidup siswa tidak mudah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARI ini, menuju ke menara gading tidak menjadi pilihan pertama dan utama untuk segelintir orang muda. Selepas tamat zaman persekolahan wajib, generasi muda kini ada lebih banyak pilihan hidup yang mampu menjamin masa depan. ‘Jom masuk universiti’ untuk mendapat kerja, menjadi slogan yang makin hilang kilauannya.

Pada masa yang sama, mereka yang bergelar siswa dan siswi menghadapi cabaran dan dilema sebelum, semasa dan selepas menamatkan pengajian di universiti. Realitinya, dunia hari ini membawa banyak cabaran dek perubahan mendadak dan gangguan (disruption) dalam setiap aspek hidup kita sehari-hari.

Maka, sebelum menuding jari dan menuduh generasi muda hari ini malas atau tiada wawasan hidup kerana mereka kurang berminat untuk melanjutkan pengajian ke universiti wajar untuk kita sedar dan tahu bahawa hidup siswa hari ini tidaklah mudah.

Sebelum ke universiti

Dahulu, masuk universiti dan menjadi siswa adalah pilihan semula jadi selepas tamat tingkatan lima atau enam. Diploma atau ijazah menjadi pasport yang boleh membuka pintu kerjaya pilihan dengan tawaran gaji yang menarik demi kualiti hidup yang baik.

Tetapi, hari ini sebelum ke universiti pun generasi muda boleh mencari kerja yang baik lagi halal. Dengan keusahawanan digital misalnya, perniagaan dalam talian boleh dimulakan waima di bangku sekolah lagi. Kerja berbentuk ‘gig’ dan bermusim juga semakin banyak, ini termasuk yang dibayar dalam mata wang luar negara yang lebih tinggi nilai daripada ringgit Malaysia.

Benar, majoriti generasi muda masih memilih ke universiti lebih-lebih lagi jika mereka berjaya mendapat keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Akan tetapi, pilihan ini mungkin lebih kepada pilihan ibu bapa atau penjaga mereka. Ini kerana, selain kerjaya keusahawanan, program praktikal dan perantisan di institut teknikal serta vokasional juga menjanjikan kerjaya yang mungkin lebih lumayan.

KEHADIRAN AI memberi saingan kepada tenaga kerja manusia pada masa kini.
– GAMBAR HIASAN

Semasa di universiti

Hakikatnya, hidup di universiti perlu sumber kewangan yang stabil. Walaupun univeriti awam yurannya dikawal kerajaan dan dana pinjaman pengajian tinggi diberikan, jangan kita lupa segala macam kos ‘sampingan’. Makan minum, bilik sewa, pengangkutan dan untuk membuat tugasan. Semua ini membawa kepayahan lebih-lebih lagi jika siswa itu juga hidup jauh dari kampung halaman.

Bayangkan pula kepayahan hidup siswa yang belajar di Lembah Klang, Kuala Lumpur, Shah Alam atau bandar besar (kos hidup mahal). Menambah kepada kepayahan ini adalah bebanan subjek universiti yang kadangkala terlampau banyak tanpa peluang dan ruang, misalnya untuk siswa yang merasa terbeban bekerja sambilan untuk menampung keperluannya.

Jika siswa itu terbeban, bebanan tersebut pasti akan dipikul oleh ibu bapa atau penjaganya juga. Amat menghairankan sebenarnya, kenapakah agaknya bilangan subjek universiti tempatan per semester sudah hampir sama dengan bilangan subjek SPM?

Selepas keluar dari universiti

Sebaik tamat pengajian, cabaran yang lebih besar menanti. Dengan hutang pinjaman pengajian, siswa siswi kini menuju ke alam kerjaya. Realitinya, kerjaya yang diimpi-impikan tidak seindah yang diharapkan terutama sekali berkait upah, gaji serta elaun yang seakan-akan statik untuk kerjaya berkemahiran tinggi walaupun Malaysia sudah berpuluh tahun merdeka daripada penjajah.

Ilmu, pengetahuan dan kemahiran yang dibawa dari bilik kuliah, bengkel dan makmal universiti juga makin tercabar dek kerana kepandaian kecerdasan buatan (AI) yang menghampiri kemampuan manusia. Majikan-majikan kita tahu tentang ini dan mereka pasti memilih AI untuk kerja dan tugas yang boleh diautomasikan berbanding siswa berdiploma dan berijazah yang perlu digaji.

Akhirnya, ramai siswa yang terpaksa memilih bidang kerja yang tidak sama dengan kelayakan mereka atau bekerja dengan upah yang tidak sepadan dengan usaha mereka. Impaknya kepada kualiti hidup jangka panjang sudah tentu negatif.

Universiti tempatan perlu mengambil kira semua faktor di atas untuk kekal relevan dan polisi agresif serta sinergi perlu dilakukan di pihak kerajaan, swasta dan semua pemegang taruh untuk memastikan generasi muda dapat memiliki kerjaya impian serta merasai kualiti hidup yang setara dengan kemajuan pertiwi.

Untuk siswa dan siswi Malaysia, kita doakan serta wajib usahakan agar keringat dan air mata mereka membawa mereka lebih dekat kepada cita-cita dan impian yang suci murni demi memastikan tanah tumpah darah ini bukan sekadar maju tetapi bertambah mutu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN