PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan kebajikan 54 pelajar Malaysia di Universiti Harvard kekal terpelihara susulan tindakan mengejut kerajaan Amerika Syarikat (AS) membatalkan pensijilan Program Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVP) universiti berprestij itu pada 22 Mei lalu.
KPT dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memantau rapat perkembangan itu menerusi Pejabat Education Malaysia Washington D.C. (EMWDC) dan mengadakan perbincangan dengan penaja serta pihak berkuasa pendidikan di AS.
Katanya, setakat ini seramai 16 pelajar tajaan dan 38 pelajar pembiayaan sendiri sedang mengikuti pengajian di universiti itu dan tiada masalah berkaitan status visa atau rekod Sistem Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVIS) dilaporkan berlaku.
“Keputusan Mahkamah Persekutuan AS mengekalkan Perintah Tahanan Sementara (TRO) yang difailkan oleh pihak Universiti Harvard memberi kelegaan kepada lebih 6,800 pelajar antarabangsa termasuk dari Malaysia.
“Keputusan ini membolehkan pelajar Malaysia meneruskan pengajian tanpa gangguan berkaitan status visa buat masa ini,” katanya hari ini.
Pada masa sama, pelajar juga diingatkan untuk sentiasa mengemas kini maklumat berkaitan Latihan Praktikal Pilihan (OPT) dan lebih berhati-hati dalam menguruskan urusan imigresen bagi mengelak sebarang masalah yang boleh menjejaskan rekod dalam SEVIS.
“Bagi pelajar baharu yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Harvard bagi kemasukan September 2025, KPT menyarankan mereka berhubung secara langsung dengan pihak universiti dan penaja untuk mendapatkan perkembangan terkini sebelum membuat keputusan,” katanya. – KOSMO! ONLINE