fbpx
Keadaan jambatan gantung yang rosak di Air Terjun Sekayu, Hulu Terengganu.

Dulu Air Terjun Sekayu cantik, sekarang….

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU TERENGGANU – Orang ramai yang mengunjungi Air Terjun Sekayu di sini, sempena musim cuti persekolahan dan Hari Raya Aidiladha ini, terkilan apabila kawasan riadah terkenal itu semakin usang dan tidak terjaga.

Banyak kemudahan yang disediakan telah rosak termasuk jambatan gantung yang hanya tunggu masa untuk roboh.

Seorang pengunjung, Mohd. Yasin Mat Rani,49, berkata, dia terkejut kawasan di sekitar Air Terjun Sekayu kini jauh berbeza berbanding kunjungan terakhirnya kira-kira lima tahun lalu.

“Dahulu, kawasan air terjun di sini cantik dan menarik, ramai datang berkelah, tetapi sayang kini keadaannya suram dan kurang terjaga.

“Jambatan gantung pun tidak boleh dilalui lagi kerana hampir runtuh,” katanya ketika ditemui di Air Terjun Sekayu di sini semalam.

Mohd. Yasin yang berasal dari Batu 6, Manir, Kuala Terengganu berkata, jambatan gantung itu antara tarikan utama dan menjadi lokasi wajib bagi pengunjung untuk bergambar kenangan.

Seorang lagi pengunjung, Muhamad Zamri Md. Ali, 51, juga bimbang jambatan gantung yang uzur itu boleh membahayakan keselamatan pengunjung jika terus dibiarkan.

Dia yang berasal dari Shah Alam, Selangor berkata, kebimbangan itu berasas kerana sebahagian struktur kayu dan kabel jambatan gantung tersebut jatuh terjuntai ke dalam air.

“Risau saya, struktur jambatan gantung itu bila-bila masa sahaja boleh roboh dan dibimbangi boleh menimpa pengunjung.

“Jika tidak dapat dibaiki, baiklah dirobohkan sahaja jambatan gantung tersebut demi keselamatan,” katanya.

Mohd. Zamri berharap pihak berkenaan dapat membaiki kerosakan kemudahan di Air Terjun Sekayu bagi menceriakan semula kawasan riadah terkenal itu.

“Saya lihat masih ramai mengunjungi Air Terjun Sekayu. Sayang potensi besar dan imejnya sebagai salah satu destinasi pelancongan terkenal Terengganu terbiar begitu sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN