Ketepikan sentimen politik buat sementara kerana perkara ini amat wajar lagi relevan untuk diteliti serta difahami. Membaca memang bukan budaya di negara ini seperti yang dilontarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jika hal ini tidak dibangkitkan PMX minggu lalu sekali pun, sudah terlalu banyak kali ia diperkatakan golongan pemikir.
“Bagaimana nak mencintai ilmu… (bukan) sekadar dengar syarahan dan kadangkala maki hamun yang tidak berteraskan ilmu.
“Baca empat ayat atau dengar celoteh dua minit dalam media sosial kita sudah buat keputusan,” kata Perdana Menteri.
Meskipun terdapat kajian semakin ramai di Malaysia membaca terutama sejak kewujudan media sosial, tetapi apa yang dibaca?
Dalam konteks diperbahaskan pembacaan ilmu pengetahuan yang mencambah minda dan mengangkat nilai fikiran. Kalau pembacaan politik sekali pun perlu dengan pengetahuan yang jelas tentang isu dengan melibatkan kesemua perspektif.
Usah seperti seorang kenalan penulis berhujah ‘kencang’ tentang politik, tetapi menyebut MCA parti gabungan Pakatan Harapan.
Berdasarkan laman web World Population Review, Malaysia di kedudukan ke-36 di bawah Filipina dan Vietnam bagi purata membaca buku setiap tahun. Singapura, Thailand dan Indonesia turut berada di kedudukan yang lebih baik.
Enam di tangga teratas mengikut turutan adalah Amerika Syarikat, India, United Kingdom, Perancis, Itali dan Russia.
Data ini juga selari dengan pandangan PMX bahawa dunia pada masa kini sangat mencabar dan memerlukan manusia berilmu.
“Tiada satu pun negara maju cetek ilmu pengetahuannya,” kata Anwar.
Persoalan mengenai kurangnya minat membaca bahan berilmiah barangkali terkait dengan juga budaya hedonisme.
Hedonisme suatu doktrin yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup tanpa mempedulikan norma kehidupan.
‘Penganut hedonisme’ akan membuat kesimpulan dan keputusan hanya dengan menonton video berdurasi 1.5 minit di TikTok.
Bagi mereka membaca berasaskan ilmiah, kemudian perlu berfikir membebankan, meletihkan serta membuang masa gembira mereka.
Benar Malaysia mempunyai penggunaan peranti digital yang tinggi dengan sebilangan besar rakyat menggunakan telefon pintar.
Tetapi sekadar membaca tajuk sambil jari jemari menaip deras di ruangan komen membuat ulasan tidak boleh diambil kira.
Timbalan Pustakawan Perpustakaan Laman Hikmah, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Rasida Abu Bakar pernah menulis tentang isu ini sebelum ini.
Kata beliau, aktiviti membaca terbukti melonjakkan pemikiran kritis, keintelektualan, kapasiti otak, kecergasan emosi dan kecerdasan intelektual.
Katanya, keazaman membaca dalam pola aktiviti harian rakyat Malaysia perlu diamalkan walaupun dihimpit cabaran sosioekonomi global.
“Apa yang penting, membaca perlu dijadikan budaya dan ia masih belum terlewat untuk membuktikannya,” katanya.














