PETALING JAYA – Merupakan alumni program realiti popular Indonesian Idol, bukan mudah untuk Anggi Marito membina nama di tanah kelahirannya kerana setiap hari ada sahaja bakat baharu yang muncul.
Anggi atau nama sebenarnya, Anggi Marito Tiodora Simanjuntak, 23, berkata, di Indonesia secara puratanya dalam sehari berpuluh-puluh penyanyi baharu mencuba nasib menembusi pasaran arus perdana.
“Di Indonesia, terlampau ramai pemuzik (penyanyi) baharu yang muncul. Bukan hanya satu atau dua (dalam sehari). Boleh jadi 10 atau 20 orang.
“Bagi saya, sangat susah untuk mengekalkan nama. Jadi, perlu luncurkan karya-karya yang berkualiti supaya orang ingat kita.
“Untuk saya secara peribadi juga, malas fikir nak buat lagu hit cumanya, terus berkarya dan jangan berhenti. Jangan hilang yang boleh membuatkan orang lupa kita,” kata pelantun Tak Segampang Itu kepada Kosmo! Online.
Anggi yang ditemui pada sidang akhbar single baharu bersama Ernie Zakri berjudul Kisah Penuh Kecewa memaklumkan, dia sangat berbangga dengan bakat-bakat yang dicungkil daripada program Indonesian Idol.
“Saya sangat berbangga bergelar alumni Indonesian Idol. Memang ramai sekali idola-idola yang lahir dari Indonesian Idol.
“Realiti itu tidak menjadi satu ketakutan buat saya kerana saya rasa seronok tengok bakat baharu lahir di Indonesia. Dapat beri semangat dan motivasi buat karya yang lebih bagus selepas ini,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Anggi merupakan pemenang tempat ketiga Indonesian Idol musim ke-11 yang menyaksikan Rimar Callista diangkat sebagai juara sementelah Mark Natama (naib juara).
Indonesian Idol musim ke-13 menyaksikan Shabrina Leanor dinobatkan sebagai juara dan Fajar Noor di tempat kedua sekali gus disifatkan antara edisi paling tersukses disebabkan kepelbagaian bakat yang berjaya dicungkil. – KOSMO! ONLINE