PETALING JAYA – “Kambing ni aku wakafkan atas nama seorang lelaki yang pernah pijak maruah aku.”
Demikianlah kata seorang wanita ketika datang ke kandang kambing milik pemuda dikenali sebagai Khairul Johari sekitar tahun lalu.
Menerusi hantaran di Facebook, Khairul berkata, wanita tersebut datang dengan mata yang bengkak beserta senyuman terukir di bibir sambil menunjukkan seekor kambing jantan gemuk.
Wanita tersebut memberitahu dia ingin membeli kambing tersebut tetapi tidak mahu meletakkan korban atas namanya.
“Saya pun tanya untuk siapa, dan dia jawab untuk lelaki yang pernah hina saya. Yang pernah tumbuk perut saya sampai saya gugur. Yang pernah tinggal saya dengan hutang. Yang pernah cakap saya tak layak masuk syurga,” ceritanya.
Wanita tersebut kemudian menyambung, haiwan yang dikorbankan bukanlah kerana lelaki yang dipercayai suaminya itu layak namun tidak mahu hatinya penuh dendam.
“Saya nak korban ini jadi titik akhir semua luka,” kata wanita itu.
Pada hari korban, Khairul berkata wanita itu memerhati dari jauh ketika takbir dilaungkan sambil tunduk dan meletakkan tangan di dada.
“Masa tu aku tahu dia dah maafkan,” kata Khairul.
Sementara itu, Khairul sempat berkongsi jawapan oleh seorang ustaz mengenai bolehkah seseorang korbankan haiwan untuk individu lain tanpa keizinan.
“Ustaz tu jawab, kalau kita jadi wakil korban untuk orang, mesti dengan izin dan niat orang itu.
“Tapi kalau kita buat korban dan hadiahkan pahala kepada orang lain, kita tak perlukan izin mereka. Contoh kita niatkan korban pada saudara kita di Palestin,” katanya. – KOSMO! ONLINE