fbpx
ORANG ramai mandi-manda ketika cuaca panas di pusat rekreasi MKA Adventure di Kampung Paya Takung, Bandar Baharu semalam.

Cuaca panas: Penduduk mandi 5 kali sehari, borong kipas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Cuaca panas luar biasa di enam daerah di Kelantan, Kedah dan Perak menyebabkan penduduk terpaksa mandi lima kali sehari selain membeli pendingin hawa dan kipas angin.

Suhu harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut itu juga mendorong orang ramai me­nyerbu kawasan rekreasi termasuk ko­lam mandi dan sungai untuk menyejukan badan.

Di Machang, Kelantan, penduduk di daerah ini terpaksa mandi banyak kali susulan cuaca panas sejak beberapa hari lalu.

Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, ramai penduduk di Kampung Pulai Chondong lebih banyak berada di dalam rumah.

Seorang pemandu jentera berat, Jasmi Ismail, 48, berkata, cuaca panas menyebabkan mereka terpaksa mengehadkan aktiviti di luar rumah.

“Angin kipas yang dipasang di dalam rumah pun tidak terasa. Saya ke kedai elektrik semalam (kelmarin) untuk membeli kipas angin tambahan di dalam rumah.

“Setakat ini, rumah saya mempunyai empat kipas selain kipas siling,” katanya di Kampung Pulai Chondong di sini semalam.

Menurutnya, bagi menghilangkan rasa bahang panas, dia bersama keluarganya terpaksa mandi sehingga lima kali sehari.

Seorang peniaga, Azhar Hussin, 60, pula berkata, dia hanya terperap di dalam rumah selepas pulang daripada berniaga.

JASMI terpaksa memasang dua kipas angin di rumahnya di Kampung Pulai Chondong, Machang semalam.

“Saya tak boleh tidur lena sejak beberapa hari lalu walaupun sudah menggunakan dua kipas angin. Machang dan Kuala Krai antara daerah yang paling panas di Kelantan buat masa ini.

“Beberapa ahli keluarga saya mula demam akibat cuaca panas,” katanya.

Di Bandar Baharu, Kedah, suhu tinggi di daerah ini menyebabkan ramai yang berkelah di kawasan rekreasi termasuk di kolam mandi MKA Adventure di Kampung Paya Takung di sini.

Pengunjung, Rizal Fahmi Abdul Rashid, 49, dari Puchong, Selangor berkata, dia sekeluarga berkunjung ke situ untuk berehat dan menyejukkan badan.
Katanya, dia pulang ke Kampung Sungai Kechil Hilir bersama keluarga sempena cuti sekolah dan Hari Raya Aidiladha.

“Saya ajak keluarga mandi di kolam ini kerana ia menggunakan air bukit yang sejuk,” katanya.

Pekerja MKA Adventure, Rizhan Abdul Rashid, 25, berkata, pengunjung semakin bertambah ke kawasan rekreasinya sejak dua hari lalu.

“Kelmarin sahaja kira-kira 700 pengunjung hadir untuk mandi-manda di kolam kami dengan bayaran RM5 untuk dewasa dan RM3 kanak-kanak,” katanya.

Pekerja Majlis Daerah Bandar Baharu, Mohamad Nazar Shaari, 56, berkata, dia perlu melakukan kerja-kerja membersihkan kawasan bangunan di Dataran Bandar Baharu lebih awal berbanding sebelum ini.

“Saya masuk kerja pukul 8 pagi dan musim cuaca panas ini, saya buat semua kerja dengan segera untuk elak cuaca lebih panas menjelang pukul 11 pagi.

“Dua tiga hari ini cuaca memang rasa terik, mujur kawasan ini banyak pokok besar yang boleh mengurangkan rasa panas,” katanya.

Menurutnya, dia juga kerap minum air kerana sering berpeluh dan rasa dahaga selain dapat mengelakkan hidrasi atau strok haba.

Kelmarin, Jabatan Meteo­rologi memaklumkan, catatan suhu bagi enam daerah di Perak, Kelantan dan Kedah berada pada Tahap 1 atau berjaga-jaga apabila mencatatkan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius.

Ia melibatkan negeri Perak iaitu di Larut Matang, Kuala Kangsar serta Perak tengah, Kelantan pula di Machang dan Kuala Krai, manakala Kedah di Bandar Baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN