NEW DELHI – Sebuah majlis perkahwinan di Jhansi, negeri Uttar Pradesh bertukar ganas apabila pertikaian kecil mengenai alat penyaman udara tercetus, lapor laman berita India Today hari ini.
Pergaduhan itu memaksa tetamu meninggalkan makanan yang sepatutnya dinikmati mereka.
Insiden itu berlaku pada 28 Mei lalu semasa perkahwinan anak perempuan Ganeshi Raikwar, Sapna, yang berkahwin dengan pasangannya bernama Sonu.
Sebilangan anggota rombongan pengantin lelaki duduk betul-betul di hadapan peralatan itu sekali gus menghalang aliran udara kepada kedua-dua pengantin.
Apabila saudara dari pihak pengantin perempuan meminta mereka untuk berpindah, keadaan menjadi tegang.
Pertengkaran tercetus, kerusi dibaling dan kekacauan mula berlaku.
Keadaan bertambah buruk apabila beberapa lelaki tempatan menyertai pergelutan itu.
Tetamu yang panik kemudian meninggalkan makanan dan bergegas ke tempat yang selamat.
Polis sedang menyiasat kes itu. – AGENSI