fbpx
Program perbincangan anjuran dobiQueen di Kuala Lumpur baru-baru ini berkongsi 97 peratus wanita menyatakan kesukaran untuk mengimbangi perniagaan, menjaga anak dan tanggungjawab rumah tangga kerana menanggung 'beban berganda' berbanding lelaki yang habisi tugas sekadar di pejabat atau tempat kerja.

K2

Selepas pulang kerja, isteri ada ‘syif kedua’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERNIAGAAN milik wanita yang ditakrifkan sebagai perniagaan yang dimiliki, diurus dan dikawal sekurang-kurangnya pada kadar 51 peratus oleh seorang atau lebih golongan wanita kini dilihat semakin berkembang.

Usahawan Mikro dan Kecil Wanita (MSWE) pada masa ini merangkumi 21 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

Situasi ini menunjukkan kira-kira 241,767 perniagaan yang dikendalikan wanita membentuk penyertaan penting mereka dalam ekonomi negara, di mana PKS merangkumi jumlah sebanyak 97.4 peratus daripada keseluruhan perniagaan.

Walaupun ini merupakan perkembangan yang menggalakkan, masih wujud jurang gender yang ketara memandangkan Malaysia meletakkan sasaran untuk mencapai 60 peratus kadar penyertaan tenaga kerja wanita (LFPR) menjelang tahun 2033.

LFPR wanita terkini menunjukkan peningkatan pada kadar yang rendah iaitu 56.3 peratus, manakala LFPR lelaki berada pada kadar 82.9 peratus, sekali gus menunjukkan jurang gender yang masih ketara walaupun terdapat peningkatan dalam penyertaan golongan wanita.

Dalam usaha untuk merapatkan jurang ini dan memperkasa MSWE di Malaysia, rangkaian dobi layan diri terkenal, dobiQueen telah menganjurkan satu sesi perbincangan berjudul Empati bertemu Inovasi: Bagaimana Usahawan

Wanita Menggunakan Teknologi Bermatlamat dan Kepimpinan Empatitik untuk Mentransformasikan Perniagaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sesi perbincangan melibatkan pakar dari sektor awam dan swasta termasuk Wanita MyWira TalentCorp, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dan Strive Malaysia.

Satu kajian oleh Strive Malaysia mendedahkan bahawa cabaran utama yang dihadapi oleh usahawan wanita ialah kekangan masa apabila 97 peratus golongan wanita menyatakan kesukaran untuk mengimbangi perniagaan, penjagaan anak dan tanggungjawab rumah tangga.

Natasha (kiri) dan Nini (dua dari kiri) bergambar bersama panel lain yang membentangkan isu memperkasa usahawan wanita. – MUHAMMAD NAIM HELMI HAFIDZI

Ini berpunca daripada norma jantina apabila wanita sering dianggap sebagai penjaga utama dalam konteks sosial, budaya dan agama di Malaysia.

Walaupun lebih 80 peratus MSWE mengakui potensi dan manfaat dalam literasi digital yang berupaya mencari maklumat dalam talian menerusi Facebook, Instagram dan TikTok, kebanyakan mereka masih menggunakan platform tersebut untuk tujuan peribadi berbanding tujuan perniagaan.

Wujud juga jurang antara kemahiran digital dan usaha dalam bidang keusahawanan.

Pegawai Program di Strive Malaysia, Li Yang Lau berkata, laporan yang mendalam ini telah menjadi panduan dalam merangka intervensi yang disasarkan bagi memenuhi keperluan unik perniagaan yang dimiliki dan diterajui oleh golongan wanita.

“Kami menyediakan mereka akses mudah kepada alat penilaian kendiri secara percuma, latihan pembangunan kemahiran yang disesuaikan, sumber pembelajaran mikro serta peluang untuk mendapatkan bimbingan.

“Ini seterusnya memupuk ekosistem perniagaan yang lebih menyokong melalui Strivers’ Hub yang merupakan sebuah platform digital sehenti yang direka untuk memenuhi keperluan perniagaan kecil yang semakin berkembang, khususnya usahawan wanita,” katanya.

Dalam pada itu, usahawan wanita dilihat semakin berkembang dengan perniagaan diterajui wanita seperti dobiQueen.

Perniagaan dobiQueen menggabungkan teknologi berorientasikan tujuan bersama pemahaman tentang realiti kehidupan isi rumah di Malaysia yang berhadapan dengan kekangan masa akibat keperluan mengimbangi kerja, penjagaan anak dan tanggungjawab rumah tangga.

Pengasas Bersama dan Pengarah Eksekutif dobiQueen, Nini Tan berkata, sebagai sebuah PKS, dobiQueen ditubuhkan sejak 10 tahun lalu dengan misi empati untuk meringankan beban kerja rumah tangga.

“Wanita menghabiskan kira-kira 63.6 peratus lebih banyak masa setiap hari untuk tugas tidak berbayar berbanding lelaki.

“Malah, wanita terus melakukan penambahan anggaran purata 3.6 hingga 4 jam selepas waktu kerja untuk melakukan tugasan rumah, sekali gus mewujudkan situasi ‘beban berganda’ atau ‘syif kedua’,” jelasnya.

Dalam pada itu, kedua-dua sektor swasta dan awam telah melaksanakan pelbagai langkah dalam memperkasa wanita dalam masyarakat.

Kerajaan sendiri telah memperuntukkan hampir RM470 juta menerusi Belanjawan 2025 bagi menyokong usahawan wanita di Malaysia.
Ketua Wanita MyWira di TalentCorp, Natasha Alias pula berkata, pada tahun 2024, Kementerian Sumber Manusia melalui TalentCorp telah memperkenalkan Wanita MyWira bagi menangani jurang dalam pasaran tenaga kerja dengan membolehkan lebih ramai wanita menyertai sektor ekonomi Malaysia secara menyeluruh.

Menurutnya, sebagai agensi yang memacu strategi bakat negara, mereka komited menyokong perjalanan kerjaya wanita, daripada kemasukan semula ke bidang kepimpinan serta mengukuhkan sumbangan jangka panjang mereka dalam tenaga kerja.

“Wanita MyWira menyokong pelbagai lapisan golongan wanita, daripada pelajar dan profesional yang kembali bekerja, kepada usahawan dan pemimpin industri melalui advokasi strategik, pembangunan kemahiran, dan penglibatan majikan.

“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan laluan sebenar kepada pekerjaan yang bermakna dan mampan.

“Pada tahun 2025, kami memperluas impak melalui usaha bersasar. Ini termasuk mempromosikan insentif cukai di bawah Program Career Comeback (CCP), mengintegrasi amalan DEI (diversiti, ekuiti dan keterangkuman) dalam universiti dan bekerjasama dengan industri untuk mengembangkan peluang pekerjaan bagi wanita,” ujarnya.

Tambahnya, dengan pengecualian cukai CCP dan insentif pengambilan pekerja di bawah Belanjawan 2024 dan 2025, mereka sedang memacu hasil yang memberi manfaat kepada wanita dan majikan serta membina asas untuk tenaga kerja yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN