BARCELONA – Pengarah Sukan Barcelona, Deco dikatakan telah mengadakan rundingan dengan ejen kepada Marcus Rashford dalam usaha merealisasikan perpindahan dengan bintang buangan Manchester United itu.
Rashford, 27, ketika ini masih terikat kontrak sebagai pemain pinjaman Aston Villa dan bakal kembali ke Old Trafford selepas berakhirnya saingan musim ini pada 31 Mei nanti.
Difahamkan, penyerang England itu tiada dalam perancangan pengurus United, Ruben Amorim meskipun pasukannya begitu ‘bermasalah’ termasuk tewas 0-1 kepada ASEAN All Stars dalam aksi pramusim di Kuala Lumpur kelmarin.
Sejak tiba di Villa Park pada Januari lalu, Rashford dilihat kembali menikmati permainannya apabila meledak empat gol dan empat bantuan jaringan dalam 17 penampilan bersama skuad bimbingan Unai Emery itu.
Kecemerlangan itu meyakinkan pengurus England, Thomas Tuchel untuk kembali memanggilnya dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Albania dan Latvia pada Mac lalu.
Bagaimanapun, Villa didakwa keberatan untuk membayar klausa diletakkan United bernilai £40 juta (RM228.01 juta) disebabkan kecederaan dialami Rashford ketika ini.
Situasi itu menyebabkan Barcelona bersedia menawarkan peluang kepada Rashford dalam usaha menguatkan jentera serangan pasukan bagi mempertahankan kejuaraan La Liga dimenangi mereka musim ini.
Dalam masa sama, pengendali Barcelona, Hansi Flick merupakan peminat tegar Rashford, namun jika gagal mengikat penyerang itu, mereka akan beralih fokus kepada pemain sayap Liverpool, Luis Diaz. – AGENSI