PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset bernila kira-kira RM32 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri susulan siasatan melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Sitaan itu melibatkan tas tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai selain kediaman mewah.
Menurut sumber, sitaan itu susulan penggeledahan oleh Bahagian Siasatan SPRM di dua kediaman milik individu berkenaan yang terletak di ibu negara hari ini.
“Menerusi penggeledahan ini, SPRM telah menyita 217 unit jam tangan mewah pelbagai jenama yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM5 juta, 27 unit tas tangan berjumlah lebih RM1 juta dan barang kemas berjumlah lebih RM4 juta.
“Menerusi penggeledahan itu juga, SPRM turut menyita sembilan unit kenderaan mewah seperti Bentley, Mercedes-Benz dan Range Rover bernilai hampir RM7 juta,” katanya.
Sumber berkata, susulan penggeledahan itu, SPRM turut menemui sebuah stor simpanan pelbagai jenis minuman berakohol mewah di salah sebuah kediaman yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta dan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti penggubahan wang haram.
“Dalam tindakan yang dijalankan itu juga, SPRM turut membuat sitaan ke atas sebuah unit kediaman mewah terletak di ibu negara dianggarkan bernilai sekitar RM12 juta yang dioercayai milik individu berkenaan,” katanya.
Sumber turut menjelaskan kesemua barang dan aset disita bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001. – KOSMO! ONLINE