Walaupun ia hanya beberapa perkataan tetapi kesannya cukup mendalam. Mungkin niat asal untuk melawak atau hendak perhatian tetapi pengakhiranya komen lucah yang dibawa ke muka pengadilan!
Dalam era media sosial ini, melucah bukan lagi dilihat dari segi perbuatan depan mata tetapi memuat naik komen lucah atau meninggalkan komen itu pada seseorang juga adalah satu perbuatan jenayah.
Ini kerana akibat kata-kata lucah yang dilemparkan telah membuatkan si mangsa menerima tekanan emosi dan trauma.
Bagi peguam Muhammad Amin Abdullah, komen-komen jelik atau berbaur lucah yang ditulis di ruangan media sosial tidak boleh dianggap sebagai jenaka kerana tidak semua orang boleh menerima komen sedemikian rupa.
“Bagi sesetengah netizen mereka menganggap komen yang bersifat lucah adalah sebagai satu bentuk jenaka atau hiburan. Namun demikian, tidak semua orang dapat menerima komen-komen lucah sebagai sesuatu untuk ditertawakan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau menjelaskan tindakan membuat komen bersifat lucah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.
Hukuman sekiranya didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi satu tahun.
“Berdasarkan peruntukan seksyen yang sedia ada, ia bukan sesuatu perkara yang boleh dibuat main-main kerana hantaran bersifat lucah dan jelek di media sosial dilihat tidak bermoral dan tidak beradab,” katanya.
Tambah beliau, justeru bagi mengekang masalah penghantaran komen bersifat lucah di media sosial, penguatkuasaan undang-undang hendaklah diperketatkan.
Katanya, hukuman bagi pesalah yang disabitkan bersalah cukup bagi menyampaikan mesej kepada orang awam bahawa tindakan menulis dan menghantar komen lucah di media sosial adalah kesalahan dan bukan gurauan.
Minggu lalu, seorang pemungut kelapa sawit dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang selepas mengaku bersalah membuat komen lucah mengenai bayi perempuan pakar bedah kelahiran Malaysia Dr. Amalina Che Bakri.
Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Nasir Kadiri, 58, selaku Orang Kena Saman selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
“Apabila telefon berada di tangan, kita boleh buat pelbagai komen, kita boleh tohmah atau fitnah sesiapa sahaja. Contohnya seperti kesalahan kamu hari ini, semuanya dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia,” kata hakim itu.
Sebelum ini, Dr.Amalina memaklumkan bakal mengambil tindakan undang-undang berhubung kenyataan lucah individu tidak bertanggungjawab berkaitan isu khatan.
Wanita itu berkata, adalah melampau apabila kenyataan berbaur lucah ditujukan kepada anaknya yang tidak berdosa sekali gus meminta agar anaknya tidak diganggu.
Sementara itu, menurut Laporan Digital Global 2024, kira-kira 16.4 juta orang atau 57.5 peratus penduduk Malaysia yang menggunakan media sosial untuk mengisi masa lapang, terdedah melakukan perbuatan buli siber sama ada secara langsung atau sebaliknya.






