KUALA LANGAT – “Kenapa perlu tukar saiz kalau pembeli tidak pernah mempersoalkannya?”.
Itu antara alasan tujuh peniaga di Pasar Awam Banting di sini, yang menggunakan tanda harga mengelirukan dengan tulisan tangan, bersaiz kecil dan tidak jelas.
Perkara itu dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor yang melakukan pemeriksaan mengejut di pasar itu, kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Pengarah KPDN negeri, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, operasi bersepadu bersama penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) itu melibatkan pemeriksaan ke atas 94 peniaga barangan basah seperti ikan dan sayur.
Jelas beliau, pihaknya memfokuskan pemeriksaan harga jualan dan tanda harga selain keberadaan bekalan serta penggunaan alat timbang yang ditentusahkan.
“Seramai tujuh peniaga dikesan meletakkan tanda harga mengelirukan pengguna dan mereka diberikan amaran lisan mengenai kesalahan itu.
“Pemeriksaan semula akan dijalankan secara berkala bagi memastikan peraturan itu terus dipatuhi peniaga,” katanya yang mengetuai operasi itu.
Menurut Mohd. Zuhairi, pemeriksaan itu dilakukan selaras Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723), Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dan Akta Timbang dan Sukat 1972 (Akta 71).
“MPKL turut menyemak lesen dan permit perniagaan selain memastikan pematuhan terhadap peraturan, undang-undang kecil serta kaedah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Secara keseluruhannya, tahap pematuhan berada pada tahap memuaskan dan KPDN akan melancarkan Program Pasar Patuh yang menumpukan kepada tanda harga seragam serta penggunaan alat timbang sah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE