LIVERPOOL – Pasukan Liverpool menerima tamparan hebat pada penghujung musim ini selepas penolong jurulatih, John Heitinga bakal ‘angkat kaki’ selepas mendapat tawaran menjadi pengendali kelab Liga Eredivisie, Ajax Amsterdam.
Sekiranya menjadi realiti, pengurus The Reds, Arne Slot bakal kehilangan ‘orang kanan’ yang dianggap paling penting dalam barisan kejurulatihan selepas membantu pasukan menamatkan kemarau lima tahun dengan menjulang Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Slot mengakui rela melepaskan Heitinga untuk memulakan fasa baharu dalam kariernya bersama Ajax, tetapi dalam masa sama berharap bekas pemain antarabangsa Belanda kekal sehingga penghujung musim depan.
“Jika pengurusan Ajax bijak, mereka akan tawarkan kontrak kepada Heitinga tanpa ragu-ragu. Namun, jika Heitinga lebih bijak, dia akan cuba untuk kekal di sini sekurang-kurangnya semusim lagi,” katanya.
Difahamkan, Ajax terdesak untuk menebus kontrak Heitinga dengan jawatan selaku pengendali baharu pasukan berpisah dengan jurulatih, Francesco Farioli selepas gagal membantu pasukan menjulang trofi Eredivisie awal bulan ini.
Heitinga yang pernah beraksi sebagai pemain profesional bersama Everton dan Fulham sebelum ini pernah menjadi jurulatih interim Ajax sebelum ditawarkan kontrak selaku penolong jurulatih bersama David Moyes dalam pasukan West Ham pada tahun 2023.
Impak Heitinga cukup penting kerana kebolehan bertutur dalam bahasa Sepanyol sekali gus memudahkan komunikasi pasukan bersama pemain seperti Luis Diaz and Darwin Nunez. – AGENSI