fbpx

Azeem ketujuh terpantas, layak suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM mencetak masa 10.26s dalam perlumbaan hari ini untuk melayakkan diri ke suku akhir Kejohanan Kelayakan NCAA di Jacksonville berlangsung awal pagi Sabtu ini.

PETALING JAYA – Bintang pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi terus berada pada landasan tepat untuk menyambar tiket beraksi di Kejohanan Akhir Olahraga Dalam Dewan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) Divisyen 1 bulan depan.

Ia susulan kejayaan pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) itu melangkah ke suku akhir Kejohanan Kelayakan NCAA berlangsung di Jacksonville, Florida hari ini.

Biarpun berlumba dalam keadaan bacaan angin -0.5 meter per saat (m/s), namun pelari berusia 21 tahun itu masih berupaya mencatat masa 10.26s untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Pelari pertama dan kedua terpantas dalam saringan Azeem menjadi milik T’Mars Mccallum dari Tennessee dengan masa 10.16s diikuti Jamarion Stubbs (Alabama) menerusi catatan 10.18s.

Biarpun gagal memenangi saringannya, namun catatan Azeem adalah ketujuh terpantas daripada keseluruhan 47 pelari sekali gus layak ke suku akhir yang akan berlangsung awal pagi Sabtu ini.

Di suku akhir nanti, Azeem akan bersaing saringan satu bersama tujuh lagi pelari termasuk rakan sepasukannya dari Universiti Auburn, Israel Okon yang mempunyai rekod peribadi 9.91s.

Enam lagi pencabarnya ialah T’Mars Mccallum, Jamarion Stubbs, Neo Mosebi (Florida), Jaleel Croal (South Florida), Jekovan Rhetta (Alabama) dan Micah Larry (Georgia).

Berdasarkan prestasi semasa, Azeem sememangnya pada landasan tepat dalam usahanya mencapai impian sebagai pelari 100m pertama dari Asia Tenggara pertama mencetak masa bawah 10s.

Dua perlumbaan terakhir sebelum ini menyaksikan Azeem mencipta masa menakjubkan 10.01s dan 10.09s dalam satu kejohanan di Appalachian State University, North Carolina pada 18 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI