PETALING JAYA – Semakin meningkat naik, penyanyi Amsyar Lee mengakui berdepan tekanan hebat apabila terpaksa menyanyikan lagu bahasa Mandarin dalam pertandingan nyanyian realiti antarabangsa, Sing! Asia.
Amsyar atau nama lengkapnya Muhammad Amir Syafiq Mohd Sadri, 26, memaklumkan cabaran utama bukan hanya bersaing dengan peserta lain, sebaliknya adalah perjuangannya menentang ketakutan sendiri ketika berada di atas pentas.
“Cabaran paling besar bagi saya adalah kena nyanyi lagu dalam bahasa Mandarin.
“Itu bukan bahasa yang saya kuasai, jadi dari segi sebutan, emosi dan penyampaian, semua itu perlukan usaha yang lebih.
“Tambah pula lagu-lagu yang saya bawa semuanya berat dan penuh emosi. Tetapi sebenarnya, cabaran sebenar bukan berlawan dengan peserta lain. Cabaran sebenar saya adalah diri sendiri,” katanya.
Penyanyi lagu Belai itu turut mendedahkan bahawa dia mengalami masalah kesihatan setiap kali membuat persembahan tetapi tetap cuba mengatasinya demi kemajuan karier seni.
“Saya ada ‘stage fright’ dan anxiety, rasa takut yang datang bila berdiri atas pentas depan ramai orang.

“Tetapi saya cuba lawan semua itu sebab saya tahu, setiap langkah ke depan adalah satu kemenangan kecil buat diri saya,” ujarnya.
Dalam masa sama, Amsyar turut menerima kecaman daripada segelintir netizen yang kurang senang dengan gaya persembahannya.
Namun, dia kekal positif dan menjadikan kritikan itu sebagai pembakar semangat untuk terus maju.
“Walaupun saya terima kecaman hebat dari segelintir rakyat Malaysia yang kurang selasa dengan cara saya membawakan lagu, saya percaya setiap suara ada tempatnya.
“Perjalanan saya masih jauh tetapi selagi ada sokongan, doa dan keberanian untuk terus berdiri, saya akan terus melangkah,” katanya.
Sing! Asia yang bersiaran menerusi platform iQiYi menghimpunkan penyanyi berbakat dari pelbagai negara seperti China, Jepun, Singapura, Vietnam dan Thailand. Amsyar antara wakil dari Malaysia yang bertanding merebut gelaran juara musim pertama program itu.
Menariknya, program ini diadakan di atas kapal persiaran mewah yang akan berlayar di Okinawa (Jepun), Ha Long Bay (Vietnam), Singapura, Klang (Malaysia), sebelum kembali ke Hong Kong.
Selain Jessie J, nama besar lain yang turut terlibat dalam rancangan ini ialah penyanyi pop China Zhang Liangying, ikon pop Jepun Kudo Shizuka, dan pemenang empat Anugerah Golden Melody, Tanya Chua. – KOSMO! ONLINE