PETALING JAYA – Rentetan sambutan luar biasa terhadap Konsert Kasih Kekasih Inteam 2025 mendorong kumpulan nasyid, Inteam menukar lokasi persembahan tersebut ke IdeaLive Petaling Jaya, Selangor yang boleh memuatkan 5,000 penonton.
Bersyukur dengan sambutan luar biasa, vokalisnya iaitu Mohd. Syahril Abdul Khalid turut memaklumkan tarikh konsert juga dipindah ke satu tarikh baharu iaitu pada 28 September kelak.
“Kami tidak menyangka sambutan sebegitu hebat.
“Peminat turut mencadangkan agar kami menambah malam kedua atau memilih lokasi yang lebih besar.
“Maka kami mengambil keputusan untuk berpindah ke IdeaLive, Petaling Jaya dan tarikh dipinda ke 28 September 2025,” katanya dalam sidang akhbar Konsert Kasih Kekasih Inteam, hari ini.
Tiket baharu akan mula dijual pada 14 Jun menerusi platform Ticket Empire melalui laman rasmi konsert www.kasihkekasih.com.
Konsert tersebut akan menyajikan lebih 25 buah lagu dan medley nostalgia termasuk penampilan istimewa anak kepada Allahyarham Suhaimi Saad serta beberapa artis jemputan yang masih dirahsiakan.
Sebelum ini, Inteam mengumumkan bakal mengadakan konsert sulung mereka di Zepp Kuala Lumpur.
Tidak sampai dua jam, tiket konsert sudah habis terjual dan rata-rata meluahkan rasa hampa apabila tidak berjaya hadir ke konsert berkenaan. – KOSMO! ONLINE