fbpx

‘Saya tak buat, takut terpalit pada anak-anak nanti’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aeril tidak akan sesekali menggunakan anak demi konten dalam ruang media sosial yang bersifat sementara. - SYAKIR RADIN

KUALA LUMPUR – Pelakon Aeril Zafrel tidak pernah terlintas untuk mencipta kontroversi atau mengikuti trend negatif semata-mata mahu menghidupkan semula nama dalam industri hiburan.

Menurut Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 38, biarpun sedar konten berunsur sensasi mampu menarik perhatian ramai, namun sebagai bapa kepada empat anak dia enggan mempertaruhkan maruah demi tontonan murahan.

“Saya cuba untuk tidak lakukan perkara yang negatif walaupun saya tahu semua itu boleh menaikkan jumlah tontonan dalam media sosial.

“Paling penting saya risau jika saya lakukan, akan terpalit pula pada anak-anak,” katanya kepada Kosmo! Online.

Aeril yang diberi julukan ‘Presiden TikTok’ itu juga mengakui diri semakin berusia dan tenaganya untuk berkarya dalam media sosial makin berkurang.

Kini, tumpuannya lebih kepada keluarga dan kerjaya seni yang stabil tanpa perlu mencipta drama palsu.

“Dulu memang aktif TikTok, sekarang dah kurang.

“Bukan sebab apapun tapi mungkin sebab tak larat macam dahulu,” ujarnya ringkas.

Pelakon filem Abnormal Buas itu sempat menitipkan pesanan kepada pempengaruh media sosial supaya tidak terjebak dengan kandungan yang melampau demi mengejar populariti segera.

“Saya tahu mereka sengaja reka cerita untuk naikkan jumlah tontonan dan perkara itu memang dah jadi satu trend.

“Bila nama dah mula merundum, mereka perlukan satu isu untuk naikkan balik nama. Dari situ boleh jana pendapatan. Tapi boleh janganlah buat perkara begitu,” ujarnya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Laknat di sini, semalam.

Aeril berkahwin dengan pelakon Wawa Zainal pada tahun 2013 dan kini bahagia bersama empat cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 11, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 9, Ayya Sofia, 5, dan Muhammad Fahri, 4 tahun.

Dalam perkembangan terbaharu, Aeril muncul menerusi filem Laknat arahan Saw Teong Hin.

Filem bergenre seram psikologi itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 5 Jun depan dan turut menampilkan barisan pelakon seperti Puteri Balqis, Jalil Hamid, Amerul Affendi, Naque Ariffin, Noorkhiriah dan Mila Mohsin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI