fbpx

‘Inilah semangat baharu ASEAN’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar pada sidang akhbar khas sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di KLCC, hari ini.

KUALA LUMPUR – Pemimpin negara anggota ASEAN bersetuju bahawa walaupun terdapat rundingan dua hala berlangsung, namun ia sesekali tidak boleh mengorbankan kepentingan rakyat di rantau ini secara keseluruhan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara peribadi beliau sangat teruja melihat komitmen yang lebih kukuh daripada semua pihak, sekali gus tiada lagi sikap berkecuali tanpa tindakan.

“Lebih penting sidang kali ini bukan sekadar diplomasi, tetapi kita mahu lihat kesan sebenar kepada rakyat.

“Saya tak kata semua masalah boleh selesai serta-merta, tapi sekarang ada keterbukaan dan penyertaan. Bermakna ini adalah perubahan budaya yang besar dalam ASEAN.

“Inilah semangat baharu yang saya harap akan diterjemahkan kepada tindakan konkrit pada Oktober nanti,” katanya sidang akhbar khas sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jangkaan atau harapan berhubung Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung pada Oktober ini.

Anwar berkata, sidang tersebut penting memandangkan banyak perkara yang dibincangkan serta akan dibawa ke hadapan.

Katanya, sebagai contoh isu Myanmar, yang sudah sampai ke tahap pertukaran komunikasi, walaupun dalam bentuk tidak rasmi atau tidak sepenuhnya di peringkat tertinggi.

“Fokus kini ialah pada pelaksanaan penyelesaian, bantuan kemanusiaan dan konsensus lima perkara yang telah ditetapkan.

“Bagi Timor-Leste pula, selepas perundingan panjang, akhirnya kita mencapai konsensus bersama. Mereka akan diterima sebagai ahli penuh. Sementara itu perbincangan dua hala (bilateral) dengan beberapa negara masih berlangsung, terutamanya mengenai tarif dan akses pasaran, tetapi secara prinsipnya konsensus telah dicapai.

“Yang penting, tiada keputusan dibuat di belakang mana-mana negara anggota. Kita perlu sentiasa melindungi kesejahteraan lebih 650 juta rakyat ASEAN,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI