SETIU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu berjaya merampas 15,455 liter minyak diesel yang disyaki disimpan tanpa permit dalam serbuan di sebuah tapak projek pembinaan di Merang di sini kelmarin.
Serbuan pada pukul 10 pagi itu berjaya merampas bahan api berkenaan yang dianggarkan bernilai RM44,819.50.
Pengarah KPDN negeri, Mohd. Mufsi Lat berkata, pihaknya telah melakukan risikan selama dua minggu sebelum melakukan serbuan terbabit.
“Pemeriksaan berjaya menemukan sebuah tangki simpanan berisi minyak diesel itu yang dipercayai digunakan untuk mengoperasikan set janakuasa elektrik.
“Syarikat pembinaan terlibat gagal mengemukakan sebarang permit atau surat kebenaran menyimpan bekalan diesel berkenaan daripada Pengawal Bekalan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Mufsi berkata, siasatan kes tersebut akan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau berkata, tindakan perundangan juga akan diambil terhadap pembekal minyak diesel terbabit.
“Perbuatan membekalkan minyak diesel kepada pihak yang tidak memiliki permit juga satu kesalahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE