SETIU – Tiga saluran jantung tersumbat punca kematian Abdul Kadir Setapa, 57, yang dipercayai dipatuk haiwan berbisa di Kampung Payung di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan di Unit Forensik Hospital Setiu di sini mengesahkan punca kematian tersebut.
“Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kegagalan jantung.
“Kesan luka pada bahagian kaki mangsa pula tidak dapat dipastikan sama ada akibat dipatuk haiwan berbisa atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan Abdul Kadir dipercayai terkena patukan haiwan berbisa sewaktu berada di dalam bilik rumahnya di Kampung Payung di sini pada pukul 11 pagi.
Anak saudara mangsa, Muhamad Rafizal Razali, 31, berkata, Abdul Kadir berada dalam keadaan lemah dan kaki kanannya bengkak sewaktu dia dikejarkan ke Hospital Setiu.
Dia berkata, bapa saudaranya yang memiliki sejarah penyakit jantung dan asma disahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di hospital tersebut. – KOSMO! ONLINE