fbpx
ORANG ramai mengambil kesempatan sempena cuti hujung minggu untuk membeli pelbagai bahan bacaan sempena penganjuran PBAKL di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.

‘Pesta buku ibarat hari raya untuk kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang sedang berlangsung bukan sekadar menjadi medan bagi menjual pelbagai bahan bacaan, malah sebagai platform kepada para penulis tempatan untuk berkumpul dan mendekati para pembaca setia mereka.

Tidak cukup dengan itu, PBAKL yang mula dianjurkan secara rasmi pada 1981 turut menjadi salah satu acara yang dinanti-nantikan oleh para peminat buku dan pembaca tegar untuk mendapatkan buku pilihan ma­sing-masing.

Sesuatu yang menarik, rata-rata penulis mengakui penganjuran pesta buku seperti PBAKL umpama sebuah pesta hari raya untuk mereka sama-sama berkumpul dan meraikan segala pengorbanan dalam menghasilkan karya penulisan terbaik.

Penulis buku Anjung Bonda Nur, Faizah Ahmad berkata, PBAKL sebenarnya memberi impak besar khususnya kepada penulis yang membawa mesej dakwah dan kekeluargaan apabila mampu menarik ribuan pe­ngunjung daripada pelbagai latar belakang setiap hari.

“Di sini, kami bawakan buku-buku dakwah santai, motivasi, kekeluargaan dan keibubapaan. Semua ini bertujuan untuk mendidik masyarakat dan mendekatkan anak-anak muda dengan bahan bacaan yang berilmiah dan mendidik,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad semalam.

Menurut Faizah, PBAKL menjadi platform terbaik memper­kenalkan bahan bacaan alternatif yang bukan sahaja menghiburkan, malah menyampaikan nilai moral kepada pembaca.

“Kami mahu sediakan satu ruang untuk anak-anak muda baca novel yang bukan saja menarik tetapi mengandungi ilmu dan nilai. Kita tidak mahu mereka terbiasa dengan buku yang melalaikan,” jelasnya.

Tambahnya, antara kelebihan utama PBAKL ialah tawaran harga buku yang jauh lebih rendah berbanding jualan di kedai buku atau platform dalam talian.

“Memang berbeza harga di sini dengan di luar sana. Kita memang buat khas untuk kita panggil Hari Raya Penulis,” katanya.

Imuda menunjukkan antara koleksi buku yang dijualnya ketika ditemui sempena PBAKL 2025 di Kuala Lumpur semalam.

Sementara itu, kartunis tersohor tanah air, Imuda atau nama sebenarnya Abdul Rahim Muda, turut menyifatkan PBAKL sebagai satu acara yang memberi nafas baharu kepada industri buku tempatan.

Katanya, penyertaan beliau dalam PBAKL kali ketiga tahun ini bukan sahaja membantu dari segi jualan, tetapi juga membuka ruang untuk bertemu peminat dan menanam minat membaca dalam kalangan masyarakat.

“Sebagai pelukis dan penulis buku, ini peluang besar. Jualan meningkat, sambutan pengunjung pun sangat baik. Tapi yang lebih penting, kita tanam minat membaca kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Menurut Imuda, berbanding jualan secara dalam talian atau di kedai buku, jualan di PBAKL jauh lebih memberangsangkan kerana suasananya yang lebih interaktif dan mesra pembaca.

“Bila di sini, ramai yang datang cari buku saya. Mereka kenal saya bukan sahaja melalui kartun dan komik, tetapi juga lakonan. Ini platform yang sangat baik untuk perkenalkan diri dan karya kita kepada orang ramai,” ujarnya.

Reruai Media Mulia pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ke-42 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Tambahnya, penganjuran PBAKL setiap tahun perlu dite­ruskan dan dipertingkatkan sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kalau dulu, minat membaca dipupuk dari darjah satu. Tapi sekarang kita kena usaha lebih kuat untuk hidupkan balik semangat itu,” katanya.

Dalam pada itu, Salhan K. Ahmad, 46, penulis buku daripada Arcane Literature & Kinderstories turut menyatakan rasa s­yukur kerana diberikan peluang menyertai ‘hari raya’ bagi penulis setelah menyertai PBAKL sejak tahun 2022.

“Setiap kali PBAKL berlangsung, kita anggap ia seperti hari raya buat kami penulis. Semua berkumpul di sini, pembeli pun ramai. Ini peluang untuk kami kenal pasti apa yang pembaca suka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN