KUALA LUMPUR – Demi memenuhi permintaan pelanggan dari seluruh negara dan luar negara, pembeli peribadi atau personal shopper sanggup menyewa hotel dan tiba seawal pukul 6 pagi setiap hari ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Kata pembeli peribadi yang mahu dikenali sebagai Arissa Sofea, 26, dia akan ke PBAKL setiap tahun bagi membantu pelanggan mendapatkan buku pilihan mereka.
“Saya datang dari Seremban dan terus ke sini seawal pukul 6 pagi. Memang setiap tahun saya akan datang.
“Biasanya saya akan sewa hotel untuk memudahkan urusan, kerana saya akan datang beberapa hari ke sini,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Tambah Arissa, pesanan yang diterima bukan sahaja datang dari seluruh Malaysia, malah luar negara seperti Singapura dan Indonesia.
Jelas Arissa, walaupun jumlah pesanan berubah-ubah setiap tahun, keuntungan bersih yang diperoleh mencecah RM500 ke atas bagi setiap tahun.
Bagi pasangan suami isteri personal shopper, Shafina Kamal, 28, dan Amirul Aiman, 32, mereka melakukan kerja itu di PBAKL secara sambilan sahaja.
“Saya dan isteri memang memburu buku edisi terhad atas permintaan ramai sehinggakan ada pelanggan dari luar negara seperti Indonesia dan Brunei yang guna servis kami. Memang kami kena datang awal pagi untuk buku-buku khas ini,” ujarnya.
Jika pelanggan minta sekali tandatangan penulis, akan ada caj lebihan yang dikenakan,” jelasnya ketika ditemui di salah satu reruai di PBAKL 2025.














