MADRID – Kemenangan 2-0 ke atas Real Sociedad di Santiago Bernabeu semalam menjadi penutup sempurna buat pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti dan bintang tengahnya, Luka Modic yang sah tidak lagi akan kekal bersama pasukan musim depan.
Selepas menghadirkan 15 kejuaraan, Ancelotti selepas ini akan menjadi pengendali baharu Brazil, manakala Modric bakal menamatkan khidmatnya selepas berakhirnya Piala Dunia Kelab bulan depan.
“Sudah pasti ia akan menghadirkan keterujaan untuk saya melatih pasukan ini dan pastinya saya tidak mampu untuk melupakan segala kenangan ini,” kata Ancelotti selepas tamat perlawanan.
Pada perlawanan kelmarin, bintang Perancis, Kylian Mbappe yang gagal menyempurnakan penalti tetap mencuri perhatian apabila meledak kedua-dua gol buat Real.
Untuk rekod, sepanjang 13 musim bersama pasukan, Modric yang juga tonggak penting Croatia berjaya meraih 28 kejuaraan dan mengakui agak sukar untuknya menerima hakikat ini adalah musim terakhirnya bersama Real.
“Detik yang saya tidak mahukan kini sudah pun tiba. Ia adalah perjalanan yang cukup panjang dan menghadirkan keterujaan kepada saya,” kata Modric.
Sambutan yang diberikan peminat kepada Ancelotti dan Modric seakan menutup musim suram prestasi Los Blancos yang hanya mampu menamatkan saingan di tempat kedua selain tewas di suku akhir Liga Juara-Juara Eropah kepada Arsenal. – AGENSI