fbpx

Pegawai tentera fasih bahasa Russia pernah belajar di Crimea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Siti Khadijah (lima dari kiri) bersama pasukannya pada LIMA'25 di MIEC di Langkawi. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

LANGKAWI – Doktor perubatan Angkatan Tentera (ATM) yang tular di media sosial kerana fasih berbahasa Russia pernah melanjutkan pelajaran di Crimea selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Doktor terbabit, Leftenan Kolonel Dr. Siti Khadijah Abdul Hamid kini bertugas sebagai Pakar Perubatan Kecemasan di Institut Perubatan Penerbangan (IPP) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Katanya, dia mendapat biasiswa perubatan dengan ATM yang membawanya ke Simferopol, Crimea pada tahun 2003 dan hanya belajar asas bahasa tersebut selama tiga bulan sebelum dihantar ke daerah yang berada di bawah pentadbiran Ukraine pada ketika itu.

“Saya menjadi fasih kerana mahu atau tidak, saya perlu bertutur dalam bahasa Russia semasa belajar di sana. Nak bertemu pesakit, keluar membeli barang di pasar, segala-galanya menggunakan bahasa Russia kerana penduduk di sana tidak fasih berbahasa Inggeris.

“Dalam video yang tular baru-baru ini, juruterbang Russian Knights ketika itu baru sahaja tiba di Langkawi dan saya sedang menunggu di situ jadi saya mengambil keputusan untuk berbual dengan mereka,” katanya ketika ditemui di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini semalam.

Menurutnya, walaupun sudah 16 tahun meninggalkan Crimea, dia masih mempunyai rakan yang berasal dari negara tersebut dan akan bertutur dalam bahasa itu apabila menghubungi mereka.

“Sekarang saya sedang mempelajari bahasa Arab pula,” katanya yang merupakan anak kelahiran Hulu Langat, Selangor.

Dr. Siti Khadijah juga pernah menjadi petugas haji ATM pada tahun 2023 dan bertemu ramai jemaah haji dari Russia dan kebolehannya bertutur dalam bahasa tersebut menemukan beliau dengan rakan baharu dari negara itu.

Dia yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu juga boleh berbahasa Mandarin kerana pernah belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Batu 14, Hulu Langat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI