PETALING JAYA – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang akan mengalami perubahan jadual waktu sementara bermula 24 hingga 26 Mei ini.
KTMB dalam satu kenyataan berkata, perubahan itu bagi memberi laluan pelaksanaan kerja-kerja naik taraf sistem semboyan di laluan Stesen Kepong hingga Stesen Salak Selatan sebagai sebahagian usaha berterusan syarikat untuk meningkatkan kecekapan sistem dan keselamatan operasi tren.
Katanya, sepanjang tempoh itu perkhidmatan KTM Komuter laluan Pulau Sebang-Batu Caves-Pulau Sebang dan Tanjung Malim-KL Sentral-Tanjung Malim serta tren elektrik (ETS) dijangka mengalami kelewatan sehingga 50 minit dari jadual asal.
“Selain itu, dua perkhidmatan ETS iaitu EG9425 (Padang Besar–Segamat) dan EG9321 (Butterworth–Segamat) akan alami perubahan platform di Stesen KL Sentral dan Stesen Kuala Lumpur pada 24 Mei.
“Pegawai bertugas akan ditempatkan di stesen bagi mengiringi dan membantu penumpang ke platform,” katanya hari ini.
KTMB menasihatkan semua penumpang agar merancang perjalanan lebih awal dan menyemak jadual perjalanan di MyRailtime melalui aplikasi KTMB Mobile.
“Para penumpang juga dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan pengumuman di stesen dan hebahan melalui saluran rasmi media sosial KTMB.
“Khidmat pesanan ringkas (SMS) juga akan dihantar kepada penumpang ETS yang terjejas sebagai notifikasi awal mengenai kelewatan yang mungkin berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE