fbpx

Bank Indonesia potong kadar faedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bank Indonesia

JAKARTA – Bank Indonesia (BI) mengurangkan kadar faedah utama untuk kali kedua tahun ini bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

BI menurunkan kadar belian semula tujuh hari sebanyak 25 mata asas kepada 5.5 peratus pada Rabu, pemotongan pertama sejak Januari, manakala dua lagi kadar utamanya turut dikurangkan sebanyak 25 mata asas.

Gabenor bank pusat, Perry Warjiyo berkata, pemotongan kadar itu konsisten dengan ramalan inflasi yang rendah, mengekalkan kestabilan rupiah, dan untuk memacu pertumbuhan.

“Keputusan itu konsisten dengan anggaran inflasi yang rendah dan terkawal pada 2025 dan 2026…, usaha mengekalkan kestabilan kadar pertukaran rupiah selaras dengan asasnya, dan membantu menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya kepada pemberita.

Rupiah berada di bawah tekanan baru-baru ini dan didagangkan menghampiri paras terendah sejak krisis kewangan Asia berikutan tarif meluas Presiden AS, Donald Trump, yang sebahagian besar daripadanya kini ditangguhkan selama 90 hari.

Mata wang itu pulih sedikit apabila ketegangan mereda selepas Washington dan Beijing pada mingggu lalu bersetuju untuk meredakan perang perdagangan.

Pemotongan kadar oleh BI telah dijangka penganalisis dan bank pusat itu dilihat akan terus melonggarkan dasar monetarinya secara beransur-ansur disebabkan ketidaktentuan ekonomi global.

“Melihat ke hadapan, persekitaran global yang tidak menentu bermakna kadar pertukaran mata wang mungkin kekal tidak menentu dalam beberapa bulan akan datang, justeru pelonggaran selanjutnya mungkin dilakukan secara beransur-ansur,” menurut Pakar Ekonomi Kanan Asia Capital Economics, Gareth Leather.

Beliau meramalkan BI akan mengurangkan kadar sebanyak 50 mata asas lagi tahun ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI