KOTA BHARU – Suami kepada pemilik spa dan salun kecantikan yang parah disimbah asid di premisnya di Beris Kubur Besar, Bachok dekat sini pada Sabtu lalu bersyukur sekiranya polis berjaya menjejak suspek dalam kes tersebut.
Muhammad Syahrul Ikhwan Seri Buana, 33, berkata, petunjuk yang akan membawa kepada penangkapan suspek dalam kes itu sekurang-kurangnya melegakan dan meredakan kebimbangan yang membelenggu dirinya.
Menurutnya, dia berdoa suspek yang akan ditahan polis itu merupakan dalang utama yang merancang untuk menyimbah asid ke arah isterinya, Nor Faziera Muda, 27.
“Saya lega jika polis akan tangkap suspek dalam kes ini. Selain suspek yang menyamar sebagai pelanggan, saya harap yang ditangkap nanti merupakan dalang utama dalam kes ini.
“Setakat ini, polis tidak memaklumkan sebarang perkembangan siasatan kes itu kepada saya. Jadi, saya harap polis tangkap perancang utama yang mengupah empat individu menyimbah asid ke arah isteri saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, polis sudah menjumpai petunjuk sekali gus akan membawa kepada penangkapan suspek yang dipercayai menyimbah asid ke arah seorang pemilik spa dan salun kecantikan di Beris Kubur Besar, Bachok dekat sini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya akan menjalankan tangkapan hari ini terhadap suspek yang disyaki melakukan perbuatan sehingga mangsa yang berusia 27 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian belakang badannya.
“Polis sudah menjumpai petunjuk dalam kes ini. Selepas tangkapan suspek dibuat, baru kita akan tahu motif sebenar kes tersebut.
“Jadi, kita akan membuat tangkapan terhadap suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE