SAUDARA PENGARANG,
KES kemalangan melibatkan lori sejak kebelakangan ini semakin menakutkan.
Pada 8 Mei lalu, pemandu treler melanggar sebuah Toyota Hilux di laluan sama sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh dua lagi kenderaan di Kilometer 34.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Sedenak, Kulai, Johor.
Akibat kejadian itu, nyawa dua beranak terkorban.
Tidak sampai seminggu berlaku satu lagi kes paling tragis apabila sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) maut apabila trak yang mereka naiki bertembung dengan lori batu di Teluk Intan pada 13 Mei lalu.
Kegagalan sistem stereng lori tersebut menjadi punca utama kenderaan berat itu hilang kawalan.
Di manakah silapnya? Lori seolah-olah menjadi ancaman kepada pengguna jalan raya lain. Mungkin bukan semua, tetapi segelintir.
Sepatutnya kenderaan besar menjaga kenderaan kecil, tetapi sekarang kenderaan kecil yang perlu berjaga-jaga dengan lori atau treler.
Jika memotong lori, seboleh-bolehnya terus memecutkan kenderaan anda. Selain itu, kalau boleh jangan berada dekat dengan mana-mana lori. Jika nampak lori memandu laju mengejar trip di satu-satu lokasi, segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Sany
Kuala Lumpur













