PETALING JAYA – Tampil bersuara, pelakon Nabila Huda menegur sikap seorang pempengaruh media sosial yang sewenang-wenangnya menyifatkan bidang komunikasi massa (masscomm), teater dan seni sebagai ‘bodoh’.
Nabila atau nama lengkapnya Nabila Huda Suhaimi, 41, kecewa dengan kenyataan biadab tersebut yang dianggap tidak sensitif terhadap pengorbanan dan kerja keras orang dalam industri seni.
“Tak baik cakap orang bodoh. Kita tidak boleh hina kerja orang lain.
“Memang nampak seronok, tetapi 70 hingga 80 peratus dalam industri ini berusaha dari bawah. Ada yang belajar, ada yang keluarga susah tetapi sanggup berkorban demi minat masing-masing
“Semua pekerjaan ada cabaran dan kesusahan masing-masing,” katanya kepada Kosmo! Online semasa majlis Pesta Unifi TV Lagi Best di The Curve, Damansara, Selangor, semalam.
Dalam pada itu, pelakon filem Gayong itu menyifatkan pempengaruh terbabit hanya mahu mencari perhatian dengan mengeluarkan konten yang tidak bermanfaat.
Malah, dia juga menasihati untuk tidak melayan provokasi murahan sebegitu.
“Saya bukan pertama kali perlu hadap orang seperti ini. Mereka cuma mahukan perhatian daripada orang ramai dalam media sosial.
“Bila kita menjawab, maknanya publisiti individu itu menjadi. Jadi lebih baik kita diam sahaja,” katanya lagi.
Sebelum ini, seorang pempengaruh mencuri perhatian apabila mendakwa jurusan seperti masscomm, teater dan seni tari tradisional sebagai jurusan bodoh.
Kenyataan yang dikeluarkan mencetuskan kemarahan orang ramai terutama sekali individu yang menyambung dalam jurusan-jurusan tersebut. – KOSMO! ONLINE