KUALA NERUS – Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (MySesma) menyumbang sebuah bas bernilai RM670,000 untuk kegunaan sekolah berasrama penuh tersebut sempena sambutan Hari Guru.
Presiden MySesma, Datuk Mohd. Zuber Embong berkata, pembelian bas berkenaan hasil kutipan derma pelbagai pihak termasuk bekas pelajar yang telah dilancarkan sejak Februari 2023.
Bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu itu berkata, kutipan derma terbabit mendapat sambutan menggalakkan dengan kira-kira RM2 juta dapat dikumpulkan dalam tempoh 22 bulan.
“Pada asalnya, kutipan derma itu dilancarkan MySesma untuk membina surau baharu di sekolah yang boleh menampung 250 jemaah.
“Oleh kerana mendapat permintaan pengurusan sekolah dan juga lebihan dana, kita sumbang juga bas baharu,” katanya pada sambutan Hari Guru di Sesma di sini semalam. – KOSMO! ONLINE